suria

Pemberian Bonus Penjawat Awam Tidak Jejas Defisit, Hutang Negara Terkawal - Ahmad Husni

IPOH: Pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion tidak menjejaskan sasaran defisit dan hutang negara terkawal, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata keadaan kewangan negara membolehkan pemberian bonus tersebut melalui bajet yang disediakan kerajaan setiap tahun.

"Dari segi pendapatan negara kita telah mencapai sasaran untuk tahun ini. Malahan kita jangka perolehi lebih daripada sasaran kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam serta dividen yang akan kita terima daripada agensi-agensi kerajaan.

"Perbelanjaan negara juga terkawal yang mana kerajaan melaksanakan konsep 'Nilai untuk Wang' iaitu perbelanjaan yang bukan hanya untuk berbelanja tapi berasaskan kepada bagaimana kita berbelanja dan bagaimana nak kurangkan perbelanjaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan van jenazah oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada Persatuan Kebajikan Taman Klebang Jaya di Dewan Komuniti Chemor di sini, Ahad.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Sementara itu, ditanya mengenai bajet 2013 beliau berkata bajet tersebut kini dalam proses penyediaan di mana perbincangan bersama Kumpulan Tumpuan sedang dijalankan dan pandangan daripada orang ramai masih diterima.

Katanya, Perdana Menteri menggunakan sistem dalam talian untuk mengumpul pendapat orang ramai selari dengan konsep "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan".

"Pelbagai cadangan dikemukakan oleh orang ramai. Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan itu mesti mencerminkan apa yang rakyat mahu dan kerajaan akan mengambil inisiatif untuk menyediakannya," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain