suria

26 Termasuk Warga Thailand & Myanmar Ditahan Dalam Ops Narkotik

KUALA LUMPUR: Seramai 26 individu termasuk warga Thailand dan Myanmar serta seorang wanita ditahan dalam operasi narkotik 'Ops Tapis Khas' di Pasar Borong Selayang, Sabtu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul DSP Mohamed Fadzil Rahman berkata kesemua mereka berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun dipercayai penagih dan pengedar dadah diberkas dalam operasi bermula pukul 6 pagi.

"Ini merupakan operasi berkala yang dijalankan IPD Sentul dan pasar borong iaitu satu daripada kawasan 'panas' kegiatan penyalahgunaan dadah.

"Hasil pemeriksaan, seramai 49 orang didapati kebanyakannya menggunakan dadah jenis syabu dan heroin," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini Sabtu.

Mohamed Fadzil berkata ada di kalangan mereka mendapat bekalan dadah dari utara semenanjung sebelum mengedar secara kecil-kecilan di pasar borong yang menjadi tempat tumpuan orang ramai.

Operasi dengan kerjasama Balai Polis Jinjang itu melibatkan 30 anggota dan empat pegawai berakhir pada 11 pagi.

Tangkapan dadah di lokasi sama sehingga Julai meningkat sebanyak 22.1 peratus kepada 731 orang berbanding 569 dalam tempoh sama tahun lepas, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain