suria

Kerajaan Kedah Tuntut RM5 Juta Daripada Underwater World Langkawi

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menuntut supaya Underwater World Langkawi (UWWL) menyelesaikan tunggakan duti hiburannya yang berjumlah RM5 juta.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata UWWL dikecualikan daripada membayar duti hiburan bagi tempoh 2004 hingga 2009, namun selepas tempoh itu berakhir taman tema tersebut gagal membuat bayaran. "Pada peringkat awal, sebagai galakan untuk menarik pelancong mereka diberikan pengecualian cukai, lepas tu (2009) tak bayar sampai sekarang mereka hutang RM5 juta kepada kerajaan negeri.

"Kita akan ambil tindakan untuk mereka bayar kerana mereka selalu bagi alasan nak tambah modal nak kembang itu dan ini sedangkan kita tahu mereka dah dapat tarik pelancong dan dapat ambil yuran masuk," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, Rabu.

Sementara itu, Azizan berkata kerajaan negeri akan mengenakan caj RM3 kepada setiap pengguna kereta kabel Langkawi yang terletak di Gunung Mat Chinchang, Langkawi. "Kita setuju nak ambil yuran untuk hutan sebab kereta kabel ini merentasi hutan dan kita minta pihak operator kutip bagi pihak kita, ini akan diuruskan pihak kewangan negeri," katanya.

Difahamkan pengurusan kereta kabel Langkawi akan diambil alih Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) daripada syarikat Panorama Langkawi Sdn. Bhd. bermula Ogos ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain