suria

Suhakam Teruskan Siasatan Awam Bersih 3.0 Untuk Kali Ketiga

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pada Isnin meneruskan siasatan awam terhadap dakwaan penggunaan kekerasan yang tidak perlu oleh polis semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 untuk kali ketiga.

Siasatan yang diketuai Naib Pengerusi Suhakam, Dr Khaw Lake Thee pada kali ini memanggil tiga lagi saksi awam bersama pemerhati.

Pemerhati yang hadir adalah wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Jamaluddin Abd Rahman, wakil penganjur Bersih 3.0 Ong Keh Keong dan wakil daripada Majlis Peguam, Amrit Palsingh.

Saksi pertama, Low Kok Sui, 39, menceritakan kepada panel dan pemerhati bagaimana pihak polis bertindak terhadap peserta perhimpunan di sekitar kawasan Masjid Jamek.

Dia turut mengemukakan gambar sebagai bukti dakwaan yang dia telah dipukul dan dipijak oleh anggota polis.

Turut dilampirkan ialah laporan perubatan dan laporan polis.

Sementara itu, saksi kedua, Suhaimi Suratman memberi penerangan situasi di beberapa lokasi perhimpunan termasuklah di Masjid Negara, Jalan Pudu dan sekitar Jalan Raja Laut.

Suhaimi turut menceritakan pengalaman ketika dia berada dalam tahanan polis selepas ditangkap menyertai perhimpunan itu.

Saksi ketiga, Khairul Anuar Pa' Wan Chik, 60, tampil di Suhakam buat kali kedua sebagai saksi untuk memberi kepastian tentang tindakan anggota polis trafik yang didakwa menunggang motosikal secara berbahaya.

Keputusan Suhakam menubuhkan panel siasatan bebas ini dibuat berasaskan aduan dan memorandum yang diterima daripada orang awam, kumpulan hak asasi manusia dan kumpulan profesional yang meminta Suhakam menjalankan penyiasatan bebas terhadap perhimpunan pada 28 April lalu.

Siasatan seterusnya dijadualkan diadakan pada 23 Julai ini.

Artikel Lain