suria

Pos Malaysia Abadikan Kegiatan Ekonomi Tradisi Rakyat Malaysia Dalam Koleksi Setem

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad mengabadikan kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini yang semakin dilupakan menerusi koleksi setem dan sampul surat hari pertama yang bertemakan "Punca Rezeki Tradisional."

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Yasmin Ramli berkata setem serta sampul surat itu yang akan mula dijual Khamis ini memaparkan ilustrasi empat kegiatan ekonomi iaitu tukang tilik nasib, penjaja nasi kandar, penjaja satay serta pembuat tanglung kertas dalam denominasi 80 sen dan RM1.

Beliau berkata selain itu terdapat buku setem yang mengandungi 10 keping setem 60 sen yang memaparkan lima reka bentuk punca rezeki tradisional iaitu penjual lemang, penjual gula-gula ting-ting, penjual ubat tradisional, penjual rojak dan tukang dobi tradisional.

"Kegiatan ekonomi yang dipaparkan dalam koleksi setem ini merupakan pekerjaan yang dijalankan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini pada suatu ketika dahulu, tetapi kini ada di antaranya jarang sekali dilihat kerana tidak diwarisi oleh generasi muda ekoran peredaran masa," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata setem serta sampul surat hari pertama boleh didapati di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara manakala folder yang berharga RM5.50 hanya boleh didapati di cawangan terpilih. - BERNAMA

Artikel Lain