suria

Sepasang Kekasih Dipercayai Mencabul & Menyamun Agen Hartanah Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis pada malam Rabu menahan sepasang kekasih yang didakwa mencabul dan menyamun seorang ejen hartanah di sebuah kondominium di Mont Kiara pada 10 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata mereka yang masing-masing berusia 33 tahun ditahan pada 11 malam hasil maklumat orang ramai.

Mereka direman sehingga 6 Jun depan, katanya dalam laman facebooknya hari ini.

Dalam kejadian itu, agen hartanah tersebut yang berusia 34 tahun dilapor telah membawa pasangan berkenaan yang menyamar sebagai bakal penyewa, bagi melihat unit kondominium untuk disewa sebelum mangsa diikat, dibogel, dicabul dan dipukul oleh pasangan itu.

Mangsa turut disamun dan kemudian ditinggalkan di unit kondominium itu. Dia telah diselamatkan oleh anggota polis bantuan yang membuat rondaan rutin mereka di kawasan kondominium itu pada keesokan harinya, iaitu kira-kira 10 jam selepas kejadian tersebut.

Penghuni kondominium itu telah membuat aduan kepada polis apabila terdengar tangisan dan jeritan meminta tolong mangsa. -BERNAMA

Artikel Lain