suria

Azmin 'Si Tanggang Moden' - Hasan Ali

KUALA LUMPUR: Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali melabel Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali sebagai 'Si Tanggang Moden' kerana keengganan beliau untuk pulang bertemu ibunya, Che Tom Yahaya, 78.

Hasan berkata, tindakan Mohamed Azmin itu jelas menggambarkan kederhakaan beliau terhadap ibunya yang sudah tidak diziarahi selama sembilan bulan.

"Semua orang Islam tahu, syurga berada di bawah tapak kaki ibu. Azmin perlu dengar nasihat ibunya dan balik ke pangkal jalan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Malah, Hasan yakin luahan hati Che Tom seperti yang dilaporkan media sebelum ini bukan dirancang oleh Umno tetapi curahan kasih sayang yang mendalam seorang ibu untuk menyelamatkan anaknya.

"Saya tengok memek muka dan linangan air mata ibunya bukan disumbat dengan duit Umno. Saya yakin itu adalah curahan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

"Dia (Azmin) kena bertaubat dan segara meninggalkan parti yang disertainya tanpa mempedulikan apa yang diperkatakan oleh orang lain. Yang penting adalah hubungan dia dengan ibunya," katanya.

Jelas Hasan, Mohamed Azmin juga perlu akur dengan saranan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menasihatkan beliau supaya menziarahi ibunya.

"Kalau dia pun menuntut penjelasan daripada Wan Azizah, ketua beliau berhubung kenyataan berbaur nasihat baru-baru ini, saya rasa itu tanda keangkuhan Azmin," katanya.

Artikel Lain