suria

Hubungan Baik Dengan Arab Saudi Perlu Dikekalkan - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Jemaah haji dan umrah Malaysia perlu sentiasa menjaga kelakuan dan menghormati peraturan ketika berada di tanah suci demi memelihara hubungan baik Malaysia-Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kunjungan jemaah haji dan umrah Malaysia ke kota Mekah setiap tahun membuka ruang untuk meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.

"Hubungan baik kita dengan Arab Saudi harap akan terus berkekalan. Hubungan baik ini lebih unik kerana setiap tahun jemaah haji dan umrah Malaysia akan berkunjung ke tanah suci.

"Arab Saudi menyanjung tinggi jemaah haji serta umrah dari Malaysia, oleh itu saya menasihatkan agar mereka tidak melakukan sesuatu yang menyentuh peraturan dan undang-undang sepanjang berada di sana," katanya.

Jamil Khir berkata demikian selepas menerima kunjungan Duta Arab Saudi ke Malaysia yang baru, Fahad A. H. Al-Rashid, di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di sini, Jumaat.

Antara perkara yang disentuh pada pertemuan kira-kira 30 minit itu ialah mengenai ibadah haji dan umrah oleh rakyat Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain