suria

Hishammuddin Nafi Organ Warga Indonesia Yang Ditembak Mati Dijual

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dakwaan kononnya organ tiga penjenayah warga Indonesia yang ditembak mati di negara ini telah dijual selepas menjalani bedah siasat adalah tidak benar.

Beliau bagaimanapun berkata polis sedang menyiasat perkara itu dan beliau difahamkan delegasi dari Indonesia telah bertemu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berhubung perkara tersebut.

"Jadi, biar polis memberikan butiran lanjut dan diharapkan selepas itu juga delegasi tersebut akan menerangkan perkara yang sebenar," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ketiga-tiga penjenayah itu yang bersenjatakan parang ditembak mati ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 24 Mac lepas. Polis terpaksa melepaskan tembakan selepas para penjenayah cuba menyerang anggota polis apabila menyedari kehadiran pihak polis.

Hasil pemeriksaan, polis menemui tiga bilah parang panjang, pemutar skru, pemotong pagar, sarung tangan dan topeng muka dari penjenayah berkenaan.

Sementara itu Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar telah meminta siasatan menyeluruh dibuat terhadap kes kematian tiga warga Indonesia itu.

Beliau dipetik sebagai berkata dalam siaran berita laman web kementerian itu yang beliau mendapat maklumat daripada Kementerian Luar Negeri Indonesia bahawa polis Malaysia sudah bersedia melakukan siasatan lanjut terhadap kes itu.

Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja (Binapenta) Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Reyna Usman pula berkata kementeriannya telah melakukan penyelarasan dengan Jabatan Tenaga Kerja Lombok Timur untuk mempercepat penyelesaian kes tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain