suria

AirAsia Bawa 4.82 Juta Penumpang Dalam Suku Pertama 2012

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia Tenggara, berdasarkan kepada jumlah pesawat, AirAsia Bhd berkata ia membawa 4.82 juta penumpang dalam suku pertama tahun kewangannya yang berakhir 31 Dis, 2012, naik 12 peratus daripada 4.32 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Ia mencatatkan faktor muatan paling kukuh iaitu 80 peratus untuk tempoh itu, sama seperti suku pertama tahun kewangan 2011, dengan kenaikan kapasiti sebanyak 12 peratus.

"Jumlah trafik yang menggalakkan ini adalah disebabkan limpahan daripada kekukuhan suku keempat tahun kewangan sebelumnya terutamanya dengan pengenalan laluan-laluan baharu dari Kuala Lumpur (KL) ke Danang pada Disember tahun lepas."

"Untuk suku pertama tahun ini, kami memperkenalkan KL-Semarang, KL-Surat Thani dan KL-Palembang," kata AirAsia dalam satu kenyataan, Khamis.

Syarikat berkata ia turut mengukuhkan tapaknya di Sabah dan Sarawak dengan menambah kekerapan perkhidmatan KL-Kota Kinabalu kepada 14 kali setiap hari.

Pendapatan penumpang kilometer, ukuran bagi jumlah penumpang yang dibawa oleh syarikat penerbangan itu naik sembilan peratus kepada 5.55 bilion daripada 5.11 bilion dalam tempoh yang sama sebelumnya.

AirAsia mempunyai rangkaian 57 pesawat setakat akhir Mac tahun ini berbanding 53 setahun yang lepas.

Menurut AirAsia, sekutu Thai dan Indonesianya turut membawa jumlah penumpang tertinggi untuk suku pertama.

Faktor muatan Thai AirAsia mengukuh kepada 87 peratus daripada 84 peratus sebelumnya dan syarikat penerbangan itu membawa 17 peratus lagi penumpang berjumlah 2.13 juta berbanding 1.82 juta dalam suku pertama 2011.

Sementara itu, Indonesia AirAsia menyaksikan peningkatan 16 peratus dalam jumlah penumpang yang dibawa kepada 1.273 juta daripada 1.09 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2011 sementara faktor muatan jatuh kepada 77 peratus daripada 79 peratus. - BERNAMA

Artikel Lain