suria

Tribunal Tanah Adat Negeri Tidak Perlu - Musa Aman

KOTA KINABALU: Tribunal Tanah Adat Anak Negeri yang dicadangkan tidak perlu buat masa ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata ini kerana Ordinan Tanah Sabah yang sedang diguna pakai untuk menentukan tuntutan hak tanah adat anak negeri Sabah masih relevan dan memadai. "Bagaimanapun, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita sentiasa menerima secara terbuka apa-apa cadangan yang boleh menambah baik kepada prosedur yang sedia ada," katanya dalam ucapan penggulungan ke atas ucapan dasar kerajaan yang dibacakan Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran pada sesi Dewan Undangan Negeri Sabah sini pada Selasa.

Musa berkata berdasarkan rekod Jabatan Tanah dan Ukur, sebanyak 562 kes tuntutan anak negeri Sabah telah didaftar dan dibuka doket perbicaraan tanah dari tahun 1997 hingga 2010.

Katanya daripada jumlah itu, 192 kes telah ditentusahkan, 40 kes tidak ditentusahkan, 328 kes masih dalam penyiasatan manakala dua kes ditarik balik. -BERNAMA

Artikel Lain