suria

74,000 Lesen Teksi, Bas, Lori Siap April

KUALA LUMPUR: Sebanyak 74,000 lesen teksi, bas dan lori sedang disiapkan dan sedia diedar kepada pengusaha mulai 1 April depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kesemua lesen berkenaan boleh diambil di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) cawangan Wilayah mulai tarikh tersebut.

Selain itu Ahmad berkata, menerusi sistem perlesenan baru iaitu Lesen Pengendali, maksimum tempoh sah laku bagi setiap permit yang diberikan adalah selama tujuh tahun.

Namun jelasnya, arahan pembaharuan lesen kenderaan bagi setiap satu tahun yang dilaksanakan SPAD ketika ini hanya bersifat sementara sehingga proses migrasi kepada Lesen Pengendali yang mula dikuatkuasa sejak 31 Januari lalu dilaksanakan sepenuhnya.

"Ini merupakan satu mekanisme bagi mengawal selia pengusaha penagangkutan awam dan kenderaan barangan meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Dengan pelaksanaan Lesen Pengendali, tempoh sah laku maksima lesen adalah selama tujuh tahun.

"Permohon boleh memilih untuk memperbaharui Lesen Pengendali mengikut jumlah tahun yang dikehendaki antara tiga, lima atau tujuh tahun," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) yang ingin mengetahui mengenai tempoh pembaharuan permit teksi serta kemampuan SPAD mengendalikan proses berkenaan.

Dalam pada itu menurut Ahmad, menerusi Bajet 2012, kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada pemandu teksi termasuk cadangan pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.

Katanya lagi kerajaan juga memberi pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih daripada tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik.

"Kerajaan juga memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milik persendirian, pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh bagi golongan berkenaan untuk memiliki teksi baru buatan tempatan," katanya.

Artikel Lain