suria

3 Penjenayah Ditembak Mati

KUALA SELANGOR: Polis menembak mati tiga penjenayah yang dipercayai terbabit menyamun sebuah rumah di Kampung Berkat di sini dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Parit Mahang di sini awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, kira-kira lima kilometer dari lokasi samun, seorang lagi rakan penjenayah bagaimanapun berjaya melarikan diri ke ladang kelapa sawit berhampiran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah ketika ditemui pemberita di sini berkata tiada rekod pengenalan diri ditemui pada mayat tiga penjenayah terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an.

Sebelum kejadian berbalas tembakan itu, polis yang menerima maklumat bahawa sebuah keluarga di Kampung Berkat disamun telah terserempak dengan kereta Proton Wira dinaiki keempat-empat suspek ketika melakukan rondaan.

Dalam kejadian samun itu, empat penjenayah berkenaan, seorang daripada mereka bertopeng, dilaporkan telah mengikat seorang daripada mangsa serta melarikan beberapa barangan seperti komputer riba, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dari rumah berkenaan.

Polis dalam cubaan menahan suspek kemudian terpaksa mengejar kenderaan tersebut sejauh tiga kilometer sebelum kereta Proton Wira berkenaan terbabas.

"Empat lelaki kemudian keluar dari kereta itu dan dua daripada mereka telah melepaskan tembakan. Polis terpaksa membalas tembakan dalam usaha menyelamatkan diri dan tiga daripada mereka berjaya ditembak mati di tempat kejadian," katanya, sambil menambah bahawa usaha memburu suspek keempat sedang digiatkan.

Mohd Adnan berkata polis merampas dua pucuk pistol dan sebilah parang daripada ketiga-tiga penjenayah yang ditembak mati itu.

Pemeriksaan ke atas kereta berkenaan turut menjumpai sebuah komputer riba, telefon bimbit, kad pengenalan dan wang tunai dipercayai milik tuan rumah yang disamun sebelum kejadian tembak itu.

"Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 13 kes samun direkodkan di Selangor. Dengan terbunuhnya penjenayah ini dipercayai polis berjaya selesaikan lima daripada 13 kes samun itu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain