suria

Banjir Di Kelantan Pulih, Pahang Tidak Berubah

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, manakala di Terengganu beransur baik dan di Pahang jumlah penduduk yang dipindahkan tidak berubah.

Di KELANTAN banjir yang melanda jajahan Kuala Krai pulih sepenuhnya apabila semua 141 orang daripada 31 keluarga pulang ke rumah masing-masing petang Ahad.

Pegawai Bertugas Bilik Gerakan Banjir Negeri ASP Ghani Mohamed ketika dihubungi Bernama di sini berkata semua empat pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Yuk Chai, Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai, Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh dan Sekolah Kebangsaan Kampung Manek Urai Lama telah ditutup.

Sementara itu, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya 9 meter apabila mencatat bacaan 9.27 meter pada pukul 8 malam tadi.

Cuaca pada sebelah malam ini bagaimanapun hujan renyai-renyai di beberapa tempat setelah tiada hujan dilaporkan sejak pagi tadi.

Di TERENGGANU keadaan banjir yang melanda daerah Setiu bertambah baik apabila jumlah penduduk yang berada di pusat pemindahan sementara berkurang daripada 363 orang pada pukul 6 petang tadi kepada 68 orang malam Ahad.

Berdasarkan Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara Negeri Terengganu kesemua mangsa yang terdiri daripada 23 buah keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Tasek Setiu.

Di PAHANG keadaan banjir tidak berubah, apabila jumlah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Pekan kekal 323 orang terdiri daripada 76 buah keluarga.

Pegawai Bertugas Bilik Gerakan Banjir Negeri Inspektor Josin Amatin berkata kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Cenderawasih kini ditempatkan di SK Sinar Mutiara. - BERNAMA

Artikel Lain