suria

Gangguan Sistem Di Lapan Pusat Pemutihan Program 6P: KDN Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Sabtu memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan akibat gangguan sistem di lapan pusat setempat proses pemutihan Program 6P sejak Khamis lepas.

Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Mahmood Adam berkata gangguan tersebut dikenal pasti berpunca daripada kesesakan maklumat yang dimuat naik dalam kapasiti melebihi jangkaan.

"Ini akibat susulan tarikh akhir program tersebut dijadualkan 10 Jan lepas sebelum diumumkan sambungan secara pentadbiran untuk majikan menguruskan pekerja atau pendatang tanpa izin (PATI) yang berdaftar antara 1 sehingga 31 Ogos tahun lepas," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pihaknya sedang berusaha membaik pulih gangguan tersebut secara maksimum dan keadaan dijamin kembali normal dalam tempoh 24 jam.

"Usaha pencegahan sedang diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang dan segala kesulitan yang dialami pelanggan amat dikesali," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain