suria

Empat Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Pukul Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis menahan empat lelaki, termasuk seorang rakyat asing kerana disyaki terlibat dalam kes pukul dan mencederakan seorang pemandu kenderaan syarikat peladangan di Tanah Lot 5, Ladang Miyasa 2, Ulu Segama, dekat sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Supt Shamsudin Mat berkata keempat-empat lelaki berumur antara 20 dan 50 tahun itu ditahan pada pukul 3.30 petang di sekitar ladang itu.

"Polis merampas sebatang besi yang diubah suai dengan hujung bergerigi sepanjang kira-kira 68cm, sebatang parang berukuran 69cm dan sebatang rotan yang hujungnya terdapat beberapa paku tajam sepanjang 79cm di dalam kenderaan suspek," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, seorang pemandu berusia 36 tahun cedera apabila kenderaan syarikat majikannya yang dinaiki bersama seorang penyampai saman diserang sekumpulan 20 hingga 30 lelaki tidak dikenali bersenjatakan kayu dan parang.

Ketika kejadian mangsa menghantar seorang penyampai saman dari Mahkamah Tinggi Tawau bagi menyerahkan surat perintah mahkamah yang meminta mereka yang menghuni tanah di kawasan lot berkenaan mengosong dan meninggalkan tanah itu.

Penyampai saman itu sempat beredar dari kawasan itu.

Kenderaan ladang yang ditingalkan mangsa juga hangus dibakar kumpulan lelaki berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain