suria

Pengamal Perubatan Tradisional Perlu Berdaftar Dengan Kementerian:Liow

KUALA LUMPUR: Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan jika gagal berbuat demikian mereka tidak boleh menawarkan khidmat itu kepada orang ramai.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini hanya 4,900 pengamal perubatan itu yang mendaftar dengan kementerian.

Mereka boleh berbuat demikian menerusi pendaftaran e-Pengamal, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari di kementeriannya di sini, Khamis.

Liow berkata usaha itu bertujuan bagi memperluaskan perkhidmatan perubatan tradisonal dan komplementari di samping memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai perubatan tradisional.

"Apabila pengamal perubatan ini berdaftar dengan kementerian, kita akan memberi bantuan dari segi kursus, melanjutkan pelajaran, penambahbaikan kualiti dan pemantauan dari segi ubatan serta kepuasaan pengguna," katanya.

Liow berkata, 10 buah hospital dilengkapi dengan perkhidmatan TCM iaitu Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang; Hospital Sultan Ismail Johor Baharu; Hospital Putrajaya; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Ini termasuk Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah; Hospital Umum Sarawak; Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands, Pahang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dan lima cawangan di pejabat negeri yang akan ditambah, katanya.

"Kita merancang untuk meluaskan perkhidmatan TCM ini ke peringkat kesihatan primer dan satu lokasi yang sesuai akan dikenal pasti sebagai klinik perintis, yang sebelum ini tidak pernah ditawarkan oleh klinik.

Selain itu, kementerian juga akan menawarkan perkhidmatan TCM ini secara mobile iaitu dari satu tempat ke satu tempat bagi meningkatkan tahap kemudahan perkhidmatan ini. - BERNAMA

Artikel Lain