suria

Bloger Terkenal Rocky Bru Diminta Lantik Peguam Dalam Kes Saman Ke Atasnya

KUALA LUMPUR: Bloger terkenal yang juga bekas penasihat editorial The Malay Mail, Datuk Ahirudin Attan diberi tempoh dua minggu untuk melantik peguam mewakilinya dalam kes saman oleh empat bekas pengurusan tinggi New Straits Times Press (Malaysia) Bhd ke atasnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Asmabi Mohamad telah menetapkan 25 Januari ini untuk mendengar pengurusan kes ini.

Peguam Rishwant Singh bertindak bagi pihak plaintif manakala Ahirudin hadir mewakili dirinya sendiri.

Bercakap kepada para pemberita kemudian, Rishwant menjelaskan bahawa NSTP kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pihak plaintif dalam kes ini.

“NSTP telah menarik diri daripada menjadi sebahagian daripada plaintif sebaliknya hanya empat individu sahaja yang masih kekal sebagai plantif dalam saman mereka ke atas defendan," kata Rishwant.

Dalam saman yang difailkan pada 2007, Timbalan Pengerusi NSTP ketika itu, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Faisal Syed Albar dan Pengarang Kumpulan the New Straits Times, Brenden John Pereira (kesemuanya kini bekas) bertindak sebagai plaintif.

Mereka mendakwa, antara 8 Jun 2006 hingga 2 Disember 2006, Ahirudin telah memuatnaikkan pelbagai tampalan yang mencemar nama baik mereka di dalam blog yang bernama Rocky’s Bru.

Mereka menyenaraikan 38 tampalan yang bersifat memfitnah oleh Ahirudin terhadap Kalimullah, 21 tampalan berbaur fitnah ke atas Hishamuddin, sembilan tambalan yang sama mengenai Syed Faisal dan 30 tampalan berbaur fitnah ke atas Pereira.

Keempat-empat plantif itu berkata, kesemua tampalan yang dibuat oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu secara jelas dan berpaten mengandungi unsur-unsur yang konsisten dan berterusan untuk memfitnah dan menjejaskan reputasi dan nama baik mereka.

Mereka mempertahankan bahawa kesemua artikel yang ditampal oleh Ahirudin di dalam laman blognya itu adalah tidak benar belaka malah berniat jahat sekaligus mengundang kunjungan ramai pembaca ke laman blog berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain