suria

Peragut Dilanggar Selepas Samun Warga Emas

KUALA TERENGGANU: Geram dengan tindakan dua lelaki cuba meragut isterinya, seorang peniaga bertindak nekad melanggar motosikal yang dinaiki suspek yang sebelum itu berjaya menyamun seorang warga emas, di sini.

Dalam kejadian pada Isnin lepas di Jalan Hiliran itu, seorang suspek diberkas manakala rakannya berjaya melarikan diri apabila motosikal yang dinaiki mereka terjatuh selepas dilanggar kereta peniaga berusia 31 tahun tersebut.

"Polis juga menemui semula beg galas wanita warga emas yang disamun mereka sebelum dilanggar. Suspek juga didapati positif dadah," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan di sini, Rabu.

Mengulas rentetan kejadian, Manoharan berkata sebelum itu kedua-dua suspek dipercayai cuba meragut beg seorang wanita yang berjalan kaki menuju ke tempat kerjanya di sebuah pasar raya di Jalan Sultan Ismail di sini.

Apabila gagal berbuat demikian, suspek melarikan diri namun kejadian disedari suami mangsa, katanya.

Manoharan berkata kira-kira 15 minit kemudian, suami mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Manir terserempak dengan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dan bertindak mengejar mereka.

"Suami mangsa kemudian bertindak melanggar belakang motosikal yang dinaiki oleh kedua-dua suspek menyebabkan penjenayah itu terjatuh ke dalam longkang," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek baru saja meragut seorang wanita berusia 57 tahun. Polis kini menjejaki rakan suspek dan kes disiasat mengikt Seksyen 393 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain