suria

Tiga Penunggang Motosikal Terbunuh Dalam Kemalangan Di Perak

IPOH: Tiga penunggang motosikal terbunuh dalam kemalangan jalan raya berasingan di Perak semalam.

Ketua Polis Trafik Negeri Supt Wan Abdullah Ishak berkata dalam kejadian pertama di Km 28 Jalan Teluk Intan-Bagan Datoh, E.Selvaraju maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor babi hutan yang melintas jalan dalam kejadian pada pukul 11.40 malam.

Selvaraju, 41, yang berasal dari Taman Muhibbah, Teluk Intan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah, merempuh seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan menyebabkan dia tercampak ke atas jalan raya lalu dilanggar sebuah kereta yang melalui jalan itu, katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sementara itu, dalam kejadian di Batu 19 Jalan Kerian-Butterworth, seorang warga emas terbunuh selepas motosikalnya terbabas lalu tercampak ke dalam parit yang dipenuhi air.

Mokhtar Abdul Rahman, 68, dari Changkat Jering, Taiping dikatakan mati lemas dalam kejadian pada pukul 3.15 petang dan mayatnya dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat, katanya.

Dalam kemalangan di Jalan Tali Ayer-Gunung Semanggul pada 7 petang pula, Mohamad Nizam Othman, 23, dari Kampung Selamat, Kerian, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya terbabas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain