suria

Wang Dalam Kereta Lesap Semasa Bayar Bil Telefon

KUANTAN: Seorang ahli perniagaan kerugian wang tunai berjumlah RM8,000 apabila wang berkenaan yang diletakkan di dalam kenderaannya di Jalan Tun Ismail di sini, tengah hari Rabu, lesap.

Mangsa yang berusia lewat 40-an itu baru sahaja mengeluarkan wang tunai dari sebuah bank di kawasan berkenaan dan wang tersebut yang diletakkan di dalam sampul surat kemudiannya disimpan di dalam laci kenderaan pacuan empat roda miliknya.

Timbalan Ketua Polis daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha berkata kejadian tersebut hanya disedari mangsa selepas dia kembali semula ke kenderaannya kira-kira jam 1 tengah hari.

"Mangsa terkejut apabila mendapati cermin tingkap hadapan bahagian kiri penumpang pecah dan terdapat kesan umpil pada laci keretanya.

"Menurut laporan mangsa, selepas mengeluarkan duit itu dan menyimpannya di dalam kereta, mangsa ke sebuah syarikat telekomunikasi di seberang jalan untuk menjelaskan bil telefon," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diingatkan agar tidak sesekali meninggalkan wang tunai ataupun barang berharga di dalam kenderaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain