suria

Raksa, Plumbum Dalam Sos Cili KR1M Patuhi Paras Dibenarkan

KUALA LUMPUR: Kandungan raksa dan plumbum di dalam sos cili Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) mematuhi paras dibenarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan pada Khamis.

Keputusan diperolehi daripada analisis yang dilakukan ke atas sampel sos cili yang dijual di KR1M itu, kata kenyataan itu, di sini.

Persampelan dilakukan susulan laporan sebuah portal berita bahawa Persatuan Pengguna Malaysia mendakwa hasil penyelidikan mereka menunjukkan sos itu mengandungi tahap raksa dan plumbum melebihi paras dibenarkan.

"Kementerian Kesihatan juga telah menjalankan pemantauan berterusan ke atas sos cili di pasaran tempatan. Dari tahun 2004 sehingga Oktober 2011 sebanyak 50 sampel cili dianalisis untuk kandungan raksa, plumbum dan kadmium," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kementerian tersebut sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat dan tidak akan berkompromi ke atas keselamatan makanan serta akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar perundangan makanan. - BERNAMA

Artikel Lain