suria

Malaysia Belajar Pengalaman Negara Lain Tangani Perhimpunan

LANGKAWI: Malaysia sedia belajar daripada pengalaman negara-negara lain dalam menangani perhimpunan awam bagi mengimbangi antara kepentingan ketenteraman awam dan hak asasi manusia, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, apa yang penting ialah polis bekerjasama dengan mereka yang telah melalui pahit getir itu dan pada masa yang sama mempertimbangkan antara hak individu dan hak majoriti.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar bertemu dengan Menteri Strategi Keselamatan Antarabangsa United Kingdom Gerald Howarth yang berkongsi pengalaman negara itu mengenai rusuhan di London.

"Pengalaman di United Kingdom boleh diguna pakai. Dalam kita meniti transformasi dan perubahan, saya rasa polis dapat menjalankan tugas mereka," katanya sewaktu ditemui ketika melawat Pameran Antarabangsa Maritim dan Aero Angkasa Langkawi 2011 (LIMA '11) di sini Khamis.

Katanya, kerajaan mampu melakukan perubahan dan akan membuktikan kepada orang ramai bahawa transformasi tidak bermakna reformasi dan revolusi.

Hishammuddin berkata, walaupun Seksyen 27 Akta Polis dimansuhkan baru-baru dan digantikan dengan akta yang baru, polis telah bersedia untuk menerima perubahan itu.

Katanya, polis cukup berkemampuan dan walaupun kini tidak lagi memerlukan permit untuk berhimpun, polis sentiasa mengambil kira semua aspek dalam membenarkan mereka meneruskan perhimpunan.

Beliau juga berkata, penggunaan teknologi terkini seperti peralatan pengawasan dari udara boleh membantu polis mengawal keadaan.

Namun, kata Hishammuddin, apa yang penting dan relevan adalah cara menangani sesuatu isu seperti pengganas, perkongsian maklumat risikan dan kawalan sempadan. - BERNAMA

Artikel Lain