suria

Polis Syak Kes Rompak Barang Kemas RM3.2 Juta Dirancang

MIRI: Kejadian 'rompakan' barangan kemas bernilai RM3.2 juta di persimpangan lampu isyarat di sini pada Khamis telah menimbulkan rasa skeptikal dan syak, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Ismail Idris.

Ini berikutan laporan polis yang dibuat oleh tiga pembekal barang kemas yang mendakwa barang kemas mereka dirompak ketika berada di dalam teksi yang berhenti di persimpangan lampu isyarat kira-kira pukul 3 petang.

Siasatan awal polis mengesyaki rompakan itu yang membabitkan tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang mungkin telah merancang rompakan itu secara terperinci.

Tiga penumpang lelaki dan pemandu teksi itu yang mengambil mereka dari hotel di pusat bandar ke Lapangan Terbang Miri, kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

"Bukan kami tidak mempercayai cerita mereka, tetapi kami hanya mahu melihat dari semua sudut. Beberapa unsur dalam kes ini telah menimbulkan curiga," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat. Katanya dalam insiden itu, ketiga-tiga 'mangsa' mendakwa ketika teksi itu berhenti di persimpangan lampu isyarat, tiga lelaki tiba-tiba keluar dari sebuah kenderaan di hadapan mereka sebelum memecahkan cermin teksi di bahagian depan dan tepi.

Ismail berkata laporan polis itu menyatakan salah seorang 'perompak' kemudiannya mengarahkan mereka membuka bonet teksi sebelum merampas empat beg bimbit yang mengandungi barangan kemas dan melarikan diri dengan menaiki kenderaan mereka, katanya.

Polis menemui hulu parang yang diperbuat daripada kayu di tempat kejadian, katanya modus operandi 'rompakan' itu hampir sama dengan dua lagi kes rompakan bersenjata yang berlaku di situ kira-kira lima tahun lalu.

Dalam ketiga-tiga kes itu, katanya mangsa merupakan pembekal emas, menginap di hotel yang sama, menaiki teksi dan tidak mengupah pengawal keselamatan ketika membawa barang kemas dalam jumlah yang besar.

"Cerita mereka semuanya sama, di mana mereka percaya mereka telah diekori dari tempat mereka menginap," katanya dan menambah dua kes sebelum itu masih lagi belum diselesaikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain