suria

Kementerian Luar Ucap Takziah Kepada Keluarga Adrian Jay Pereira

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar pada Rabu mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mendiang Adrian Jay Pereira, 22, yang mati dibunuh di Malang, Jawa Timur, Indonesia, 7 November lepas.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan mengenai kes itu agar individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka keadilan dan mendapat hukuman sejajar dengan peruntukan undang-undang Indonesia.

"Jenazah mendiang Adrian, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diserah kepada keluarganya pada pukul 2.40 petang ini.

"Jenazah mendiang diiringi dari Malang oleh bapa saudara, peguam keluarga serta Atase Pendidikan dari Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta," kata kenyataan itu.

Turut berada di KLIA ialah pegawai dari Kementerian Luar, Kementerian Pengajian Tinggi, JPA dan wakil Kedutaan Indonesia di Malaysia.

Adrian, penuntut Tahun Tiga tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur, Indonesia dibunuh ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumahnya di bandar Malang, pada 7 November lepas.

Adrian berasal dari Klang, Selangor. Serami 173 penuntut Malaysia kini menuntut di Malang, dan daripada jumlah itu, 161 adalah penuntut Universiti Brawijaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain