suria

Awas Lelaki Malaysia, Wanita Enggan Keluar Dengan Anda Jika Poket Kosong...

DALAM satu tinjauan yang dijalankan baru-baru ini, telah didapati bahawa lelaki Malaysia menjadi semakin berfikiran terbuka tentang wanita yang mereka dating tetapi pada masa yang sama tinjauan itu juga mendapati, wanita Malaysia masih inginkan lelaki idaman mereka jauh lebih tinggi, lebih berpendidikan dan memperolehi pendapatan yang jauh lebih lumayan daripada mereka.

Tinjauan berkenaan yang dijalankan oleh Lunch Actually - agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang mempertemukan jodoh serta pasangan di Asia juga mendapati, 70% wanita Malaysia tidak akan memberi sebarang pertimbangan untuk keluar berdating dengan lelaki yang jauh lebih rendah daripada mereka tetapi 55% lelaki Malaysia tidak kisah untuk berdating dengan wanita yang lebih tinggi daripada mereka.

Menurut Lunch Actually, hasil tinjauan yang mengejutkan ini dilakukan di kalangan 1,895 responden meliputi Malaysia, Hong Kong dan Singapura. Mereka yang mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut adalah berumur di antara 26 hingga 40 tahun dan 75.1% adalah terdiri daripada pemegang ijazah. Dan dari jumlah tersebut, 654 responden adalah dari Malaysia.

Tinjauan itu dijalankan secara dalam talian (online) dari 25 Ogos hingga 14 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lunch Actually, Violet Lim memberitahu, agensinya mendapati, lelaki hari ini telah menjadi semakin berfikiran terbuka dan tidak lagi cerewet dan bersedia untuk berdating dengan wanita yang lebih tinggi daripada mereka, lebih berpendidikan dan memperolehi pendapatan yang jauh lebih lumayan tetapi mereka dapati wanita masih kelihatan tidak selesa untuk keluar dengan lelaki pendek, kurang berpendidikan dan berpendapatan lebih rendah daripada mereka.

Tinjauan itu juga, kata Violet mendapati wanita Malaysia semakin memberi perhatian kepada faktor kewangan dalam membina perhubungan intim dan kemampuan teman lelaki mereka untuk memperolehi wang yang lebih tinggi.

Enam puluh peratus wanita Malaysia yang menyertai tinjauan itu menegaskan bahawa mereka tidak akan sama sekali berdating dengan lelaki yang memperolehi pendapatan yang lebih rendah daripada mereka. Pendek kata, wanita Malaysia enggan bertemankan lelaki yang poket kosong.

Jumlah ini sebenarnya tinggi jika dibandingkan dengan wanita Singapura yang hanya 47% mengatakan mereka tidak akan keluar dengan lelaki yang berpendapatan lebih rendah dan wanita Hong Kong cuma 27%. Untuk lelaki Malaysia pula, adalah didapati, 72% berkata mereka tidak kisah untuk keluar berdating dengan wanita yang jauh berpendapatan tinggi daripada mereka dan begitu juga dengan lelaki Hong Kong (69%) dan Singapura (76%).

Perkara yang sama juga didapati benar apabila disentuh tentang latar belakang pelajaran bakal teman lelaki atau wanita mereka. Wanita Malaysia menduduki carta paling tinggi mahukan teman lelaki mereka seorang yang memiliki ijazah iaitu (48%) manakala wanita Hong Kong (30%) dan Singapura (41%).

Tetapi apabila menjawab soalan tentang bagaimana pula kalau berdating dengan lelaki jauh lebih muda, 44% wanita Malaysia berkata, mereka bersetuju untuk keluar atau mempunyai teman lelaki yang lebih muda. Majoriti wanita Malaysia (79%) juga menyatakan bahawa dalam temujanji yang pertama, mereka mengharapkan yang jejaka pilihan mereka akan membayar makan malam manakala wanita Hong Kong (67%) dan wanita Singapura (69%) menyatakan perkara yang sama.

Bagaimanapun, selepas perhubungan menjadi semakin intim, hanya 30% wanita Malaysia mengharapkan teman lelaki mereka untuk terus membayar ketika keluar makan manakala 32% lagi berkata kedua-dua pasangan yang keluar berdating harus memikul tanggungjawab bersama untuk membayar makan malam atau tengah hari.

Bila menyentuh tentang latar belakang kaum pasangan masing-masing, kedua-dua wanita dan lelaki yang ditinjau pandangan berkata, mereka tidak begitu menitik beratkan soal kaum.

Apakah lelaki dan wanita Malaysia cerewet tentang latar belakang kerakyatan pasangan kekasih mereka? Adalah didapati 72% lelaki Malaysia dan 66% wanita Malaysia berkata mereka tidak kisah malah berkata ‘ok’.

Di sebalik hakikat bahawa 72% lelaki Malaysia memberi perhatian dan kepentingan kepada perkahwinan, pada masa yang sama, majoriti mereka juga takut kepada komitmen perkahwinan.

Alasan paling utama yang diberikan ialah lelaki Malaysia (38%) mahukan kebebasan untuk terus melakukan apa yang sebelum ini mereka gemar lakukan dan khuatir mempunyai isteri yang akan mengarahkan mereka apa yang patut dilakukan manakala 29% lagi menyatakan kebimbangan terhadap kemampuan kewangan mereka selepas berumah tangga.

Jadi kepada semua lelaki bujang Malaysia, awas! Jika poket anda kosong, kebarangkaliannya ialah anda mungkin tidak akan dipandang oleh wanita Malaysia tetapi jika anda muda dan kocek penuh, anda mungkin teruna atau perawan yang sedang dicari-cari!

Artikel Lain