suria

Belum Ada Pelan Penggabungan Yang Konkrit Antara Proton -Perodua

KUALA LUMPUR: Belum ada cadangan konkrit membabitkan perjanjian usaha sama antara Proton dan Perodua, namun kedua-dua syarikat itu mahu bekerja bersama-sama, kata Penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata industri kereta tempatan belum bersedia untuk diliberalisasi meskipun keputusan sama ada untuk berbuat demikian terletak ditangan kerajaan.

"Banyak negara tidak melakukannya (membuka pasaran). Ia masih belum adil," katanya selepas menyampaikan cek RM500,000 oleh Perodua kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.

Beliau berkata China, Korea, Jepun dan banyak negara Eropah mengenakan halangan yang menyekat penggiat asing daripada memasuki pasaran masing-masing.

"Jika kita membuka pasaran, mereka juga membuka dan tiada syarat khas dikenakan, itu tidak mengapa. Namun, hari ini orang menggunakan kaedah lain untuk menyekat orang lain daripada masuk," katanya sambil memberi contoh syarat standard yang tinggi yang perlu dipatuhi di Eropah.

Dr Mahathir berkata dasar automotif negara yang sedia ada membuatkan harga kereta terpakai turun, dan menyukarkan orang ramai membeli kereta baharu," katanya.

"Jika kita tidak boleh menjual kereta kita untuk membeli kereta baharu, mustahil untuk membeli kereta baharu," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Pengerusi Perodua Tan Sri Asmat Kamaludin berkata kandungan tempatan produk Perodua semakin meningkat sejak Perodua memulakan operasi pertamanya pada 1994.

"Ketika itu kandungan tempatan kira-kira 45 peratus, namun sekarang, Alza menggunakan 90 peratus kandungan tempatan," katanya.

Asmat berkata sumbangan (cek) itu dibuat susulan janji Perodua untuk menyumbang RM1,000 daripada setiap model Alza M2 edisi khas sejak Januari lepas sempena lawatan bekas perdana menteri itu ke Perodua.

"Untuk masa depan, penggiat automotif tempatan mesti bersedia untuk menghadapi liberalisasi penuh, yang bakal menyaksikan perubahan pesat landskap pasaran pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Beliau berharap kerajaan akan memberi penggiat industri automotif dan vendor tempatan masa yang mencukupi untuk menghadapi ketidaktentuan ini. - BERNAMA

Artikel Lain