suria

Kerajaan Digesa Turunkan Duti Import Peralatan Keselamatan

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menggesa kerajaan menghapuskan atau sekurang-kurangnya menurunkan duti import peralatan keselamatan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah itu penting bagi menggalakkan industri tempatan melaksanakan dengan lebih berkesan amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) jika harga peralatan berkenaan akan lebih mampu dibayar oleh majikan.

Beliau berkata kebanyakan peralatan keselamatan yang digunakan industri dan tempat kerja di negara ini masih diimport kerana tidak banyak dikeluarkan dalam negara. "Peralatan keselamatan yang diimport adalah mahal ekoran pengenaan duti import antara lima hingga 30 peratus," katanya dalam satu kenyataan, Ahad.

Lee berkata kos tinggi peralatan keselamatan sering dirujuk sebagai antara punca majikan sukar melabur dalam hal-hal berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka.

Beliau berkata kegagalan menggunakan peralatan keselamatan atau peralatan bagi melindungi kakitangan dikenal pasti sebagai antara punca kematian atau kecederaan di tempat kerja.

"Pengurangan atau penghapusan duti bagi peralatan keselamatan yang diimport akan menjadi insentif untuk majikan memainkan peranan mereka dalam mempromosi OSH di negara ini," katanya.

Lee juga berkata dengan amalan OSH lebih baik, kemalangan di tempat kerja yang boleh menjejaskan produktiviti akan dapat dikurangkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain