suria

Dua Lelaki Singapura, Seorang Lelaki Tempatan Dihukum Mati Edar Dadah

JOHOR BAHARU: Dua lelaki rakyat Singapura dan seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, Isnin selepas didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Samsudin Hassan membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa kedua-dua rakyat Singapura berkenaan, Lau Ching Hong, 48, dan Soh Soon Chai, 51, dan lelaki tempatan, Ong Kok Soo, 59, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Lau, Soh dan Ong, didapati bersalah mengedar 279.6 gram dadah campuran 3,4- methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan methamphetamine di No 18, Jalan Delima Off Jalan Berlian, Taman Engku Aziz, di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 14 Januari, 2009.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka juga didapati bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan iaitu memiliki 3,955.3 gram ketamin, 54.1 gram nimetazepam dan 2,844 gram kafeina, di tempat, waktu dan tarikh yang sama. Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, masing-masing dihukum penjara empat tahun, tiga tahun dan dua tahun dan hanya perlu menjalani hukuman penjara empat tahun selepas Samsudin memerintahkan mereka menjalani hukuman itu serentak dari tarikh tangkap pada 14 Januari, 2009.

Kesalahan memiliki ketamin dan nimetazepam itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan memiliki Kafeina pula didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Lau, Soh dan Ong diwakili peguam Datuk Hanif Hashim dan Ibrahim Haikal Razak manakala pendakwaan dilakukan dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohd Azlan Mohd Alias dan Farah Ezlin Yusop Khan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain