suria

Masyarakat Luar Bandar Tumpuan PM Dalam Belanjawan 2012:Abdul Rahim

PITAS: Masyarakat luar bandar sewajarnya berbangga dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan mereka sebagai sasaran utama dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata banyak peruntukan yang disediakan bagi mentransformasikan luar bandar khususnya di Sabah dan "jika rakyat melibatkan diri sepenuhnya pada program ini mereka akan mampu merasai lonjakan yang lebih besar dan pendapatan yang bertambah".

Abdul Rahim berkata belanjawan itu turut menyediakan projek infrastruktur awam dan asas untuk luar bandar termasuk kemudahan jalan luar bandar, bekalan elektrik dan air.

"Sasaran untuk memberi liputan perkhidmatan elektrik kepada 95 peratus isi rumah melalui peruntukan RM963 juta bagi maksud tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.

"Begitu juga dengan pelbagai projek berkaitan minyak dan gas yang sedang dilaksanakan di Sabah yang bukan sahaja merancakkan ekonomi negeri tetapi juga membuka ruang yang besar kepada graduan tempatan untuk mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Taradas Kanibongan, dekat sini.

Abdul Rahim berkata kesediaan kerajaan untuk menghapuskan pelbagai yuran persekolahan dan kesihatan juga merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

Oleh itu, beliau meminta rakyat termasuk di Pitas supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan tohmahan pelbagai pihak yang menggambarkan belanjawan itu kononnya tidak realistik.

"Formulasi belanjawan dibuat berdasarkan kemampuan kerajaan dan kerajaan mempunyai segenap keupayaan untuk menunaikan janji tidak seperti pembangkang yang masih banyak terhutang janji dengan rakyat di negeri-negeri yang mereka perintah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain