suria

MRT: Kerajaan Jamin Tidak Roboh Bangunan Di Jalan Sultan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan untuk tidak merobohkan sebarang bangunan di Jalan Sultan yang terlibat dalam pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pemilik projek iaitu Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang diperbadankan akan memastikan kerja pembinaan terowong tidak akan menjejaskan bangunan di Jalan Sultan.

"Pihak kerajaan memberi jaminan bahawa bangunan-bangunan di Jalan Sultan, walaupun tidak diwartakan sebagai bangunan warisan tetapi merupakan sebahagian penting sejarah bandaraya Kuala Lumpur, ia tidak akan dirobohkan," katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Tan Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) yang ingin mengetahui secara terpeinci rancangan pembinaan MRT bawah tanah di sekitar Jalan Sultan.

Selain itu beliau turut ingin mengetahui mengapa kerajaan tidak membuat jaminan bahawa selepas MRT dibina, sama ada penghuni-penghuni asal boleh mengambil semula pemilikan tanah tanah tersebut.

Bagaimanapun menurut Ahmad, MRT Corporation Sdn Bhd sedang mengadakan rundingan dengan pemilik tanah persendirian untuk mencari persetujuan di mana pengambilan tanah tidak perlu dilakukan.

"Antara perkara yang perlu dipersetujui ialah keperluan pemilik keluar dari bangunan semasa pembinaan terowong dan kembali setelah selesai pembinaan dan juga isu pampasan kerugian kepada mereka yang terlibat.

"Sehubungan itu persoalan memberi semula hakmilik tanah kepada tuan tanah asal tidak sepatutnya timbul," katanya.

Menurut Ahmad, MRT SBK akan melalui jajaran bawah tanah sejauh 10 kilometer (km) di pusat bandar Kuala Lumpur.

Jajaran tersebut akan melalui di bawah Jalan Sultan antara Pasarama Kota atau Stesen Bas Klang dan persimpangan Jalan Sultan-Jalan Hang Jebat dengan jarak 400 meter.

"Oleh kerana Jalan Sultan merupakan jalan yang sempit, sebahagian terowong MRT tersebut juga akan melalui di bawah 20 lot bangunan di sepanjang Jalan Sultan," katanya.

Tambah beliau, bagi projek MRT SBK sejauh 51km, kerajaan telah memastikan pengambilan tanah persendirian dapat dikurangkan apabila 70 peratus jajaran adalah melalui tanah kerajaan seperti rizab jalan raya dan tanah milik agensi kerajaan.

"Misalnya di kawasan Bukit Dukung dekat Kajang, bilangan bangunan yang terjejas seperti rumah kediaman, bangunan komersial, surau dan sekolah telah berkurangan daripada 109 kepada 46 buah bangunan apabila jajaran dialihkan.

"Begitu juga di Pekan Kajang, di mana bilangan bangunan yang terjejas telah berkurangan daripada 29 kepada lima buah bangunan," katanya.

Jelasnya anggaran bilangan lot tanah persendirian yang akan diambil balik adalah lebih kurang 500 lot dengan jumlah keluasan tanah sebanyak 75 hektar.

Artikel Lain