suria

Kerabat Diraja, Kenamaan Dan Orang Ramai Ziarah Jenazah Almarhumah Raja Muzwin

IPOH: Kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata dengan berpakaian tanda perkabungan menziarahi jenazah Almarhumah Raja Perempuan Perak Raja Muzwin Raja Ariff Shah di Istana Riswin, Jalan Sultan Azlan Shah di sini sejak pagi Jumaat. Bonda kepada isteri Sultan Johor, Raja Zarith Sofiah itu mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, pada 4.20 petang, Khamis dan jenazah baginda tiba di Ipoh malam tadi. Sultan Johor Sultan Ibrahim berangkat ke Istana Riswin yang mula dipenuhi kerabat diraja termasuk anakanda baginda dan orang kenamaan sejak pagi. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran juga diperdengarkan oleh beberapa hadirin yang menziarahi jenazah Almarhumah.

Turut berangkat menziarahi jenazah balu kepada Almarhum Sultan Idris Shah II itu ialah Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun serta Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. Turut berangkat Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Tengku Abdullah merupakan anakanda saudara kepada Almarhumah. Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan barisan exco turut menziarahi jenazah Almarhumah. Jenazah akan disemadikan di Makam Diraja di Kuala Kangsar selepas solat Asar, Jumaat. Raja Perempuan Perak Raja Muzwin Raja Ariff Shah diputerikan pada 1 Mac 1929 dan ditabal sebagai Raja Perempuan Perak pada 26 Oktober 1963 selepas Sultan Idris Shah II ditabalkan menjadi Sultan Perak ke-33. Perkongsian hidup pasangan diraja itu dikurniakan dua puteri dan dua putera iaitu Raja Zarith Sofiah, Raja Nadzatul Shima, Raja Iskandar Zulkarnain dan Raja Jamil Ariffin. - BERNAMA

Artikel Lain