suria

Setiap Sekolah Dicadangkan Ada Mini Muzium - Ismail

TEMERLOH: Barangan antik yang mempunyai nilai sejarah wajar didedahkan kepada generasi muda terutama pelajar supaya mereka mengetahui dan memahami sejarah yang berkaitan.

Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamad Said berkata bagi tujuan itu, pihak sekolah perlu mengadakan mini muzium mengumpul dan mempamerkan bahan sejarah negara atau barangan antik untuk tatapan pelajar.

Beliau berkata usaha itu secara tidak langsung membolehkan pelajar mengetahui sejarah dan perjuangan tokoh negara sekaligus mereka tidak mudah ditipu pihak yang cuba memutar-belitkan fakta sejarah. "Ramai generasi baru yang tidak tahu sejarah negara, apatah lagi melihat khazanah atau barangan antik yang digunakan di zaman lampau sebelum negara merdeka," katanya kepada pemberita selepas melawat mini muzium Sekolah Kebangsaan Jenderak dekat sini, Selasa.

Ismail yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata ibu bapa atau masyarakat setempat yang masih menyimpan barangan antik boleh meletakkannya di mini muzium sekolah bagi tatapan umum.

Katanya, jika langkah itu tidak dilakukan, generasi akan datang tidak kenal seterusnya tidak tahu menghargai sejarah dan usaha itu perlu dilakukan segera oleh pihak sekolah. "Barangan antik merupakan aset berharga kerana ia bahan sejarah yang sukar ditukar ganti kerana melaluinya kita akan mengetahui secara mendalam sesuatu bahan sejarah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain