suria

Kematian AminulRasyid: Koperal Dipenjara Lima Tahun

SHAH ALAM: Selepas setahun dibicarakan, Koperal Jenain Subi akhirnya dihukum penjara selama lima tahun selepas disabitkan bersalah menyebabkan kematian seorang pelajar, AminulRasyid Amzah yang mati akibat ditembak dalam satu kejadian tembakan, tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman tersebut pada Khamis, selepas berpuas hati bahawa pembelaan yang dikemukakan oleh Jenain, 49, secara bersumpah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Bagaimanapun Jenain tidak perlu menjalani hukuman serta-merta memandangkan Latifah telah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kerana berhasrat memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dengan mengekalkan jaminan RM10,000 yang diberikan sebelum ini.

Semasa membacakan keputusan itu, Latifah berkata bahawa mahkamah mengambil kira faktor bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh yang telahb 25 tahun berkhidmat di dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengakibatkan kehilangan nyawa seorang pelajar yang berusia 15 tahun.

"Mahkamah bersimpati dengan keluarga mangsa dan pada masa yang sama juga bersimpati dengan keluarga tertuduh. Tetapi mahkamah perlu mengambil kira bahawa penggunaan senjata api perlu dibuat dengan berhati-hati," katanya.

Jenain yang berasal dari Kota Belut, Sabah dilihat tenang menerima keputusan tersebut, manakala ada di antara keluarga AminulRasyid yang berada di galeri awam mahkamah mengesat air mata.

Jenain didakwa menyebabkan kematian AminulRasyid pada antara pukul 1.10 dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini semasa melepaskan tembakan ke arah kereta Proton Iswara nombor pendaftaran BET 5023 yang dipandu mangsa tanpa pengetahuan keluarganya.

Bagi kesalahan itu, Jenain yang baru lapan bulan ditukarkan ke Unit Cawangan Kereta Peronda (MPV) sebelum kejadian, didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Mohd Dusuki Mokhtar, Adillah Ahmad dan Siti Rohaida Che Man.

Perbicaraan bermula pada 12 Oktober 2010 dan keterangan oleh Pakar Perunding Perubatan Jabatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah(HTAR) Dr Khairul Azman Ibrahim mengesahkan bahawa kematian mangsa adalah disebabkan oleh peluru yang dikeluarkan daripada kepalanya.

Semasa membela diri, Jenain mengatakan kereta tersebut dipandu dalam keadaan yang terlalu laju, secara melulu, melanggar lampu isyarat, dan dia hanya memberi bantuan kepada hebahan yang dibuat oleh sebuah kereta peronda lain untuk memberhentikan kereta tersebut.

Bagaimanapun, pada penghakimannya, Latifah berkata, mahkamah mendapati tidak ada keperluan untuk tertuduh melepaskan 21 das tembakan ke arah kereta terbabit kerana kadar kelajuan kereta telah berkurangan dan tidak lagi mendatangkan bahaya kepada kereta peronda mahupun tertuduh.

"Sebagai seorang anggota polis, tertuduh seharusnya maklum bahawa tembakan menerusi senjata sub-machine gun adalah berbahaya dan boleh membawa kepada kematian kerana peluru yang keluar adalah berterusan," katanya.

Berhubung keterangan bekas Ketua Unit Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Makmal Forensik PDRM Amidon Anan selaku saksi kedua yang menyokong pembelaan tertuduh, Latifah berpendapat keterangan itu bukanlah keterangan daripada seorang yang pakar, tetapi dibuat berdasarkan pengalaman.

Latifah menambah, keterangan Ketua Penolong Pegawai, Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Razali Basri, 54, mengakui Perintah Tetap Ketua Polis Negara (KPN) tidak mengatasi undang-undang.

"Perintah Tetap KPN mengatakan penggunaan senjata api hendaklah dalam keadaan yang munasabah dan bertindak sebagai prosedur standart yang tidak boleh mengatasi undang-undang," tambahnya.

Sementara itu, dalam memohon hukuman diringankan, peguam Salim Bashir merayu mahkamah mengambil kira bahawa Jenain telah berkhidmat kepada negara dan seorang yang berdisplin serta berdedikasi dalam menjalankan tanggungjawab sehingga mengakibatkan dia berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah.

"Tertuduh telah terlibat dalam pertuduhan semasa menjalankan tugas sebagai anggota polis. Sebelum kejadian, tertuduh telah mengawal keselamatan jalan-jalan. Ketika kita nyenyak tidur, tertuduh menjalankan tugasnya.

"Tertuduh bukanlah seorang polis yang sesuka hati akan melepaskan tembakan," kata Salim dan menambah, tertuduh juga pernah ditugaskan di unit tugas-tugas am, bahagian gerakan dan pernah ditugaskan untuk mengawal tertuduh-tertuduh semasa ditempatkan di mahkamah selama 12 tahun.

Salim yang mengakui terkejut dengan keputusan mahkamah juga memberitahu, tertuduh dan isterinya yang merupakan seorang guru mempunyai empat orang anak berusia antara 15 dan tiga tahun yang memerlukan kasih sayang daripada seorang bapa.

Seorang lagi peguam tertuduh, M. Athimulan pula mempersoalkan kewajaran hukuman yang berat diberikan terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan semasa menjalankan tugasnya.

"Pada waktu kejadian, tertuduh tidak mengetahui pemandu di dalam kereta tersebut hanya seorang remaja," tambahnya.

Idham bagaimanapun, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai memberi pengajaran kepada anggota penguatkuasa undang-undang untuk lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas selain kesalahan yang dilakukan Jenain adalah serius.

"Perbuatan tertuduh juga bukan berpunca daripada unsur provokasi daripada mangsa. Tertuduh juga pada bila-bila masa tidak lagi berada dalam keadaan yang bahaya.

"Ini jelas menunjukkan bahawa tertuduh meletakkan kepentingan dirinya lebih daripada orang lain," tambah Idham.

Sebaik sahaja prosiding mahkamah tamat, Idham memberitahu wartawan bahawa pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain