suria

Pemergian Hassan Ahmad Dirasai Pejuang Bahasa Melayu Seluruh Dunia - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu menyifatkan pemergian Datuk Hassan Ahmad sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada ahli keluarga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka itu tetapi juga kepada seluruh pejuang Bahasa Melayu di dunia.

"Kami berharap anggota keluarga Datuk Hassan tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.

"Doa kami semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan semoga dihimpunkan bersama golongan orang-orang yang soleh," katanya dalam satu emel kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman juga mengucapkan takziah kepada keluarga tokoh berkenaan.

Hassan, 74, yang meninggal dunia selepas mengadu sakit perut pada pukul 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya di sini, meninggalkan balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, serta dua anak perempuan Aida dan Hasmirawati.

Timbalan Perdana Menteri berkata tokoh itu telah banyak menabur budi dalam memartabatkan Bahasa Melayu di persada antarabangsa sejak mula berkhidmat dengan DBP pada tahun 1963.

Katanya selama 25 tahun di DBP, beliau telah mengangkat serta mempertingkatkan mutu Bahasa Melayu sekaligus menjadikan DBP antara pusat pengembangan Bahasa Melayu yang disegani di serata dunia.

"Allahyarham yang merupakan anak Melayu pertama dianugerahkan Ijazah Kedoktoran (PhD) Sains Sosial dari Leiden University, Belanda adalah seorang aktivis yang giat memperjuangkan serta mengukuhkan penggunaan Bahasa Melayu melalui peranannya sebagai pengerusi di dalam beberapa Majlis Bahasa Melayu yang melibatkan negara-negara di rantau Asia," katanya.

Muhyiddin berkata, ketokohan Allahyarham sebagai pejuang bahasa diiktiraf apabila dilantik menjadi Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke Unesco di Paris serta menjadi penerima Zamalah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Seminar Sebutan Tentang Persefahaman Antarabangsa di New York.

Katanya sepanjang hayat beliau, Hassan telah berkongsi ilmu dan pengalaman dengan rakyat dari pelbagai peringkat melalui penglibatannya sebagai Pensyarah Jemputan di Universiti Malaya, Professor Adjung di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia.

Artikel Lain