suria

Penubuhan Dana Mudah Bantu Syarikat Bumiputera Berdikari - Ahmad Husni

IPOH: Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Sabtu berkata penubuhan dana mudah cara berjumlah RM2 bilion bertujuan mengupayakan syarikat-syarikat Bumiputera bagi membolehkan mereka berdikari.

Beliau berkata keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) itu adalah bagi membolehkan syarikat-syarikat Bumiputera berdikari dan tidak lagi mengharapkan bantuan dari kerajaan.

"Dana ini boleh digunakan untuk menguatkan pasaran, aset dan ekuiti syarikat Bumiputera dalam bersaing di pasaran global," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 103 penerima di Dewan Serbaguna Kampung Manjoi di sini.

Ahmad Husni yang juga Anggota Parlimen Tambun, berkata usahawan Bumiputera digesa supaya menggunakan sepenuhnya peluang itu bagi memperkasakan syarikat mereka.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan dana berkenaan kepada syarikat Bumiputera yang berkelayakan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Penubuhan dana itu hasil usahasama antara Teraju dan Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) bagi menyediakan sokongan kepada inisiatif pembiayaan swasta PFI Bumiputera.

Dana ini dijangka menjadi pemangkin kepada syarikat Bumiputera untuk mengendalikan projek besar yang mempunyai tahap kelayakan minimum nilai pelaburan RM20 juta.

Penubuhan dana ini juga diharap dapat memberi impak pelaburan dan manfaat kepada syarikat Bumiputera yang ingin memulakan perniagaan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain