suria

Dakwaan Presiden Majlis Peguam Tidak Benar Sama Sekali - Hassan Malek

MELAKA: Dakwaan kononnya kerajaan tidak mendapatkan pandangan masyarakat Orang Asli berhubung Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli adalah tidak benar sama sekali.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hassan Malek berkata pihaknya telah bertemu beberapa jabatan dan agensi kerajaan serta kerajaan negeri seperti Terengganu, Johor, Negeri Sembilan dan Perak bagi mendapatkan maklumat untuk dasar berkenaan.

"Sejak tahun 2000 lagi kerajaan telah berusaha mengumpul data, mendapatkan pandangan daripada masyarakat Orang Asli sama ada melalui badan bukan kerajaan (NGO) atau Persatuan Orang Asli," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis Ihya Ramadan peringkat Negeri Sembilan dan Melaka, di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee yang mendakwa kerajaan tidak mendapatkan sebarang pandangan masyarakat Orang Asli berhubung Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli.

Beliau berkata dasar itu akan dibawa ke Majlis Tanah Negara dan kerajaan negeri sebelum dibentangkan di Parlimen.

Katanya kerajaan juga tidak mahu tergesa-gesa bagi memastikan dasar itu benar-benar mantap bagi melindungi kepentingan Orang Asli daripada perkara-perkara yang boleh merugikan mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Datuk Sani Mistam berkata jabatannya telah membaik pulih 19 buah rumah membabitkan kos RM175,000 tahun ini.

Manakala 15 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah, dibina dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - BERNAMA

Artikel Lain