suria

Warga Thailand Dipenjara Enam Bulan, Denda RM10,000

ALOR SETAR: Seorang warga Thailand dihukum penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan memberi rasuah kepada seorang penjawat awam dua hari lepas.

Hakim Indra Nehru Savandiah memerintahkan Ibrahim Habyusoh, 38, yang berasal dari Satun, selatan Thailand dipenjarakan daripada tarikh dia ditangkap iaitu 26 Ogos lepas.

Ibrahim mengaku bersalah memberi suapan wang tunai RM200 kepada Sarjan Mejar Tajudin Ladzim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana menyeludup mercun di sekatan jalan raya di Km1.3, Jalan Bukit Kayu Hitam Changlun pada kira-kira 6 pagi, Jumaat lepas.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu dan tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand.

Ketika merayu hukuman ringan, Ibrahim berkata dia menanggung seorang isteri dan dua anak yang masih kecil dan bersekolah dan diberikan hukuman ringan bagi membolehkannya balik berhari raya di kampungnya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi pula meminta mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh.

Katanya kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam adalah kesalahan serius dan mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam daripada melakukan kesalahan yang sama. BERNAMA

Artikel Lain