suria

Penganggur Menyamar Pegawai Istana Negara Ditahan Polis

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang menyamar sebagai penjawat awam Istana Negara dengan menggelarkan dirinya sebagai "Tengku Razali" telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abd Bari Wan Abdul Khalid berkata lelaki berumur 28 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan menyamar sebagai penjawat awam dan menipu di sekitar Lembah Klang.

Katanya lelaki terbabit ditangkap pada 18 Ogos lepas di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini kira-kira 2 petang.

Beliau berkata suspek telah menyamar sebagai seorang peguam Istana Negara semasa memperdayakan mengsa.

Mangsa, seorang wanita berumur 44 tahun merupakan seorang penjual kuih di Taman Wahyu di sini dan diperdayakan untuk diberikan tender membuat kuih di Istana Negara.

"Apabila mendapat kepercayaan mangsa, mangsa tersebut telah dibawa ke depan pintu masuk Istana Negara dan suspek telah mengarahkan mangsa untuk menanggalkan barang-barang kemas di dalam kereta atas alasan tidak boleh di bawa masuk sebarang barang kemas ke dalam istana.

"Setelah mendapatkan barang kemas mangsa, suspek memberi alasan mahu letakkan kereta di tempat parkir tetapi terus meninggalkan mangsa di luar istana," kata Wan Abd Bari dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Brickfields, Selasa.

Beliau berkata suspek dipercayai terlibat dalam lebih 45 kes menyamar dan menipu setakat ini dan anggaran kerugian keseluruhan yang dialami mangsa ialah kira-kira RM200,000.

Beliau berkata suspek melakukan kegiatan itu sejak tahun 2006 dan turut mempunyai tujuh rekod lampau.

Menurut Wan Abd Bari, suspek berasal daripada Batu Pahat, Johor dan menyewa kereta ketika beroperasi untuk menyamar dan menipu.

Beliau berkata ekoran tangkapan lelaki tersebut, polis turut menahan tiga lagi lelaki yang masing-masing merupakan peniaga barangan terpakai, peniaga telefon bimbit terpakai dan peniaga gadai emas, kerana dipercayai membeli barang dari lelaki tersebut.

Reman terhadap kesemua empat lelaki itu dilanjutkan sehingga minggu depan untuk disiasat mengikut Seksyen 379, 392 dan 420 Kanun Keseksaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain