suria

Dua Beranak Didakwa Bunuh Pembantu Rumah Filipina

PETALING JAYA: Dua beranak warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan membunuh seorang pembantu rumah warga Filipina di Jalan Gasing di sini.

Mamun, 41, seorang kontraktor dan anak lelakinya Mehedi Hasan, 22, yang juga pelajar kolej didakwa membunuh Rowena Cariga Tadena, 35, di sebuah rumah di no. 239, Jalan 5/50, Jalan Gasing di sini, pada pukul 11.30 malam, 23 Julai lalu.

Mereka yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mereka mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya yang turut memohon tarikh sebutan lain sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, memandangkan laporan kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA) masih belum diperolehi.

Mahkamah menetapkan 13 Okt ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain