suria

Peguam Negara Bantah Permohonan Bersih 2.0

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengemukakan bantahan awal bagi mengenepikan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh 14 anggota Jawatankuasa Bersih 2.0 bagi membatalkan perintah yang mengisytiharkan kumpulan itu sebagai pertubuhan haram.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Datuk Rohana Yusoff pada Rabu, menetapkan 19 September ini sebagai tarikh pendengaran bantahan awal tersebut.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas berjumpa dengan wakil daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam-peguam yang mewakili Bersih 2.0.

Jabatan Peguam Negara diwakili oleh Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md Said, Azizan Md Arshad, Andirazalijaya A. Dadi, Munahyza Mustafa dan Lailawati Ali.

14 AJK Bersih 2.0 termasuk pengerusinya, Datuk S. Ambiga diwakili oleh peguam-peguam Tommy Thomas, Fahri Azzat, K. Shanmuga dan Honey Tan Lay Ean.

Sementara itu, Kamaludin semasa ditemui memberitahu, antara alasan yang diberikan pihaknya agar semakan tersebut ditolak adalah kerana afidavit Ambiga bagi menyokong permohonan itu adalah lemah.

Pada 8 Julai lalu, semua 14 AJK terbabit memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan perintah bahawa gerakan itu haram dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan pengisytiharan perintah oleh Menteri Dalam Negeri pada 1 Julai lalu yang mengisytiharkan gerakan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram dan memerintahkan pembatalannya berkuatkuasa serta merta.

Mereka juga mahukan satu deklarasi bahawa perintah itu batal dan tidak sah serta tiada mempunyai kesan.

Selain itu, AJK terbabit juga memohon perintah mandamus yang mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan KPN untuk memulangkan semula baju-t, pelekat, surat khabar, sepanduk dan apa-apa dokumen lain atau objek kepunyaan mereka yang dirampas.

Pada permohonan itu, mereka menegaskan bahawa Bersih 2.0 adalah secara substantif berlainan dengan gerakan yang dikenali sebagai Bersih, yang dilancarkan pada 2007 dan dianggotai parti-parti politik dan pertubuhan masyarakat.

Dakwa mereka lagi, Bersih 2.0 adalah hanya terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan masyarakat tanpa disertai parti-parti politik sama sekali dan dilancarkan pada November 2010.

Mereka juga mendakwa, tidak diberikan peluang untuk menjelaskan kedudukan mereka sebelum perintah tersebut dikeluarkan.

Artikel Lain