suria

Enam Perwakilan Asing Sampaikan Tauliah Kepada Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Enam orang duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia pada Selasa menyampaikan tauliah mereka kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini.

Mereka ialah Duta Sepanyol ke Malaysia Maria Bassols Delgado, Duta Jepun, Shigeru Nakamura, Duta Vietnam Nguyen Hong Thao, Duta Republik Kyrgyz Askar Beshimov, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, David Gregory Pine dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong.

Delgado, 53, seorang peguam dan graduan pengurusan perniagaan, memulakan kariernya dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Sepanyol pada 1985.

Jawatan terakhir beliau sebelum dilantik sebagai Duta ke Malaysia ialah Timbalan Pengarah di Direktorat Umum untuk Hal Ehwal Konsular dan Duta Kelana bagi Hal Ehwal Migrasi di kementerian itu.

Nakamura, 62, adalah graduan dalam undang-undang dari Universiti Hitosubashi pada 1973 dan Sarjana Politik dari Universiti Oxford pada 1976.

Sebelum dilantik sebagai Duta ke Malaysia, Nakamura adalah Duta untuk Hal Ehwal Ekonomi Antarabangsa di Kementerian Hal Ehwal Luar Jepun pada Julai 2009.

Thao, 54, sebelum menjawat jawatan ini, ialah naib pengerusi Jabatan Hal Ehwal Sempadan Barat, Kementerian Hal Ehwal Luar Vietnam sejak Julai 2007 serta Prof Madya Undang-undang sejak November 2009.

Beshimov, 49, memulakan kariernya di Kementerian Hal Ehwal Luar Republik Kyrgyz sebagai Setiausaha Kedua, Jabatan CIS dan negara-negara Eropah Timur pada 1995.

Beliau menggantikan Tursunbay Bakir Uulu yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Duta Republik Kyrgyz ke Malaysia pada September 2010.

Beshimov adalah Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Luar negara itu sejak 2009.

David Gregory Pine, 50, menyertai Kementerian Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand pada 1993 dan ini merupakan lantikan kedua beliau ke Malaysia.

Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjya Tinggi New Zealand ke Malaysia dari 2002 hingga 2005 dan sebelum tugasan terakhir ke negara ini, beliau adalah pengarah Bahagian Ekonomi MFAT sejak 2008.

Ong, 57, sebelum ini adalah setiausaha agung Asean untuk tempoh 2003 hingga 2008 dan pelantikan beliau sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia merupakan lantikan kedua ke negara ini sebagai diplomat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke India serta ditauliahkan sebagai Duta republik itu ke Nepal dari 1996 hingga 1998. - BERNAMA

Artikel Lain