suria

JPJ Kelantan Awasi Tiga Laluan Pintu Masuk Utama Jalan 'Sakaratulmaut'

KOTA BARU: Tiga laluan pintu masuk ke negeri ini iaitu Machang-Grik, Kuala Krai-Gua Musang dan Pasir Puteh-Bukit Yong dikenalpasti sebagai berisiko tinggi nahas jalan raya atau 'Jalan Sakaratulmaut' pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah JPK Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim berkata, kawasan terbabit kerap berlaku kemalangan jalan raya, terutama dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas hari raya, berpunca daripada pemandu yang ingin pulang ke kampung memandu dalam keadaan mengantuk atau memandu terlalu laju.

Sehubungan itu, katanya, JPJ Kelantan akan meningkatkan pemantauan di tiga laluan pintu masuk utama itu sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Kita akan membuat rondaan dan jika perlu menempatkan anggota secara statik di kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kaunter Online "One JPJ" di Pasar Tani Terminal Agribisnes Negara (Teman), di Tunjung di sini Sabtu.

Beliau berkata, gerakan itu akan dijalankan sebaik saja Ops Raya bersepadu dilancarkan secara serentak di peringkat kebangsaan tidak lama lagi.

Sempena pelancaran itu, JPJ membuka kaunter bagi menyediakan kemudahan kepada orang ramai untuk perkhidmatan membaharui lesen memandu dan cukai jalan serta mengemaskini alamat pemegang lesen memandu dan menyemak saman polis dan JPJ dengan kerjasama pengendali sistem elektronik e-Government Service Provider.

Sementara itu, JPJ Terengganu akan menempatkan anggotanya di beberapa pasaraya dan pasar tani di negeri itu dalam kempen menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan online, One JPJ.

Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata melalui kaedah online, setiap urusan menjadi lebih mudah dan orang ramai hanya perlu memilih satu daripada tiga penyedia perkhidmatan JPJ untuk melakukannya dari rumah atau pejabat.

Tiga penyedia perkhidmatan itu ialah MyEG, Pejabat Pos dan Konsortium Multimedia Swasta Sdn Bhd (Komms).

"Kita mahu pelanggan memilih kaedah online ini bagi memudahkan mereka melakukan urusan tanpa perlu fikir untuk ambil cuti sekiranya mahu memperbaharui lesen atau cukai jalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sistem online itu di sebuah pasaraya di Kuala Terengganu pada Sabtu.

Sementara itu Abdul Rahman berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada pengguna yang gagal mengemaskini alamat mereka pada lesen memandu atau dokumen lain JPJ.

Katanya tempoh selama dua bulan diberikan kepada orang ramai untuk berbuat demikian setiap kali mereka berpindah alamat dan jika gagal berbuat demikian mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

245,376 PATI Didaftar

Artikel Lain