suria

Pekerja Restoran Edar Heroin Dihukum Mati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadap seorang pekerja restoran yang didapati bersalah mengedar 62.13 gram heroin, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu terhadap Lim Siew Poh, 59, selepas berpuas hati bahawa pembelaan yang dikemukakannya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Lim didakwa mengedar heroin tersebut pada pukul 6 pagi, 7 April 2008 di hadapan Kilang G2000 Apparel Sdn Bhd di nombor 36, Persiaran Industrial, Bandar Sri Damansara, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Perbicaraan melibatkan lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan.

Dadah tersebut disembunyikan di dalam sebuah kotak pewarna rambut di dalam Proton Wira hijau gelap bernombor pendaftaran WDH 3303 yang semasa itu berhenti di tempat kejadian.

Semasa itu, tertuduh yang memakai cermin mata sedang duduk di bahagian pemandu kereta berkenaan.

Artikel Lain