suria

Lawatan Najib Ke UK Pacu Hubungan KL-London Ke Tahap Lebih Tinggi

LONDON: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke United Kingdom bermula Selasa, merupakan satu peluang bagi kedua-dua negara melengkapkan kedudukan semasa hubungan dua hala dengan tumpuan ke arah usaha memacunya ke tahap lebih tinggi.

Menyifatkan hubungan Kuala Lumpur-London sebagai penting dan dalam pelbagai aspek, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK Datuk Zakaria Sulong berharap lawatan berkenaan akan menghasilkan lebih banyak pelaburan British ke Malaysia serta memperluaskan skop hubungan dua hala.

"Meskipun keadaan ekonomi yang mencabar, kita berharap para pelabur British akan menimbang untuk memperluaskan pelaburan sedia ada di Malaysia.

"Dan, sekiranya mereka boleh membawa masuk pelaburan baru, itu lebih baik," kata beliau kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan Najib sebelum ketibaan Perdana Menteri di London pada lewat hari Selasa.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata selain meningkatkan hubungan dalam perdagangan dan pelaburan, serta pendidikan dan sektor-sektor lain, kedua-dua negara juga seharusnya menimbang untuk menjalin pakatan dalam bidang seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Najib mempunyai jadual yang padat di London yang termasuk pertemuan dengan rakan sejawatan British, David Cameron, di No.10 Downing Street.

Zakaria berkata: "Mereka mungkin menggunakan peluang ini untuk meneliti semula kedudukan hubungan dua hala. Tidak boleh beranggapan yang hubungan akan berkembang begitu sahaja.

"Ia perlu dipupuk dan mungkin tiba masanya bagi mereka melihatnya dan mengkaji semula mengenai bagaimana kita boleh meningkatkan hubungan ini ke tahap lebih tinggi, satu tahap yang berbeza."

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik, pintu masuk ke pasaran Asean yang mempunyai lebih 500 juta orang, perlu terus diingatkan di kalangan pelabur British.

"Kita mungkin merasakan kita strategik tetapi orang lain mungkin melihat jiran kita lebih strategik. Jadi, saya berpendapat kita perlu menggandakan usaha untuk menyedarkan pihak berkenaan bahawa kedatangan mereka ke Malaysia adalah baik untuk perniagaan mereka dalam jangka panjang," kata Zakaria.

Dengan memetik data rasmi, Zakaria berkata Malaysia menarik pelaburan bernilai US$113 juta dari UK pada 2010, berbanding US$95.26 juta yang dicatatkan pada 2009.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM13.03 bilion pada 2010, dengan eksport Malaysia bernilai RM7.197 bilion dan import pada RM5.835 bilion.

Pesuruhjaya Tinggi itu berkata pelaburan Malaysia di UK juga semakin meningkat termasuk dalam sektor hartanah London yang mewah.

Menyentuh mengenai usaha Malaysia untuk mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah, Zakaria berkata UK akan membantu Kuala Lumpur dalam memudahkan rundingan dengan EU.

Beliau berkata Najib dan Cameron juga dijangka berbincang mengenai peranan Komanwel dalam meningkatkan ekonomi negara anggota.

"Datuk Seri Najib mungkin memaklumkan rakan sejawatannya itu mengenai hasil Dialog Antarabangsa Langkawi yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, di mana semasa penyertaan negara-negara membangun, telah menyatakan aspirasi mereka," kata Zakaria.

Najib akan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan beberapa menteri semasa lawatan ke UK berkenaan yang akan menyaksikan pemeteraian pelbagai memorandum persefahaman dan perjanjian yang bertujuan untuk terus meningkatkan hubungan antara Kuala Lumpur dan London. -BERNAMA

Artikel Lain