Kastam Rampas Barangan Seludup Bernilai RM2.8 Juta - Semasa | mStar

Kastam Rampas Barangan Seludup Bernilai RM2.8 Juta

KUALA LUMPUR: Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan yang diseludup bernilai RM2.8 juta yang melibatkan cukai sebanyak RM7.3 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Saadon Mohd Dros berkata nilai rampasan keseluruhan barangan diseludup untuk tahun 2010 pula ialah RM25.2 juta yang melibatkan jumlah cukai RM68.9 juta.

Antara barangan yang dirampas ialah minuman keras, rokok, tayar dan telefon bimbit, katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pasar Borong Selayang selepas melancarkan Kempen Mencegah Pengedaran Rokok Tidak Sah, di sini, Selasa.

Menurutnya sempena kempen itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian Penguatkuasaan, Wilayah Persekutuan telah mengadakan operasi bersama agensi penguatkuasaan yang lain di sekitar Pasar Borong Selayang semalam.

Katanya di dalam operasi tersebut sebanyak 16 premis telah diperiksa di sekitar kawasan itu dan hasil daripadanya lima orang ditahan kerana disyaki menyimpan rokok yang diseludup.

Nilai keseluruhan yang dirampas ialah RM2,550.28 dan melibatkan cukai sebanyak RM11,781.88, katanya.

Beliau berkata ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang-barang itu atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Rokok yang dirampas adalah pelbagai jenis rokok kretek seperti Nusantara, Gudang Garam Surya, Sampoerna dan pelbagai rokok putih seperti John, Canyon, Luffman dan June.

"Pemeriksaan menunjukkan bahawa pada kotak rokok tersebut tiada sebarang setem cukai mahupun dakwat keselamatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain