suria

Empat Lagi ADUN DAP Digantung Sidang DUN Melaka

MELAKA: Empat wakil DAP digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka selama dua hari kerana gagal mematuhi peraturan dewan dan menimbulkan kekecohan semasa persidangan pada Selasa.

Empat wakil rakyat itu ialah Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana); Lim Jak Wong (Bachang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (Bandar Hilir).

"Dewan menggantung kesemua kamu sekali (wakil DAP) dari sekarang sehingga habis persidangan esok dan kamu juga akan dikenakan tindakan selanjutnya menerusi jawatankuasa hak asasi dewan yang bermesyuarat petang ini," kata Speaker Datuk Othman Muhamad setelah menerima usul daripada Ketua Whip Barisan Nasional (BN) Datuk Yaakub Md Amin.

Semalam, Anggota DUN Kesidang, Goh Leong San digantung tiga hari kerana gagal mematuhi peraturan dewan. Ini bermakna kesemua lima wakil pembangkang dilarang menghadiri persidangan dewan yang dijadualkan berakhir esok.

Ketika ditemui pemberita di luar dewan, Othman berkata keputusan menggantung empat wakil DAP itu mengikut peraturan dan tatetertib dewan Perkara 31 (1) dan (2) dan Perkara 34 (3), berhubung kegagalan anggota dewan mematuhi peraturan dan arahan Speaker boleh menyebabkan mereka digantung daripada menghadiri dewan.

Othman berkata jawatankuasa hak asasi dewan yang dipengerusikan beliau dan dianggotai antaranya Yaakub, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Omar Kaseh, Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan wakil pembangkang dari DAP, Goh akan bermesyuarat berhubung isu itu.

Katanya tempoh penggantungan bagi kesemua wakil DAP itu akan diputuskan petang ini dan diumumkan pagi esok ketika dewan menyambung persidangan.

"Ini kali pertama dalam sejarah dewan Melaka wakil DAP dikenakan tindakan digantung untuk sesuatu tempoh (antara enam bulan hingga setahun), katanya.

Kekecohan bermula sebaik dewan menyambung persidangan selepas berhenti rehat pagi ini apabila Speaker membaca mengumumkan hanya usul tergempar BN berhubung perhimpunan haram di ibu negara Sabtu lepas akan dibahaskan manakala usul DAP mengenai perjudian bukan bagi kaum Cina ditolak.

Keputusan Speaker menyebabkan Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) bangun membacakan usulnya sehingga menyebabkan kekecohan antara wakil kerajaan dan pembangkang.

Kekecohan yang berlaku menyebabkan, Yaakub bangun membaca usul meminta dewan menggantung keempat-empat wakil DAP dan kemudiannya dipersetujui suara majoriti dewan yang mempunyai 23 wakil BN.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditemui pemberita di luar dewan membidas tindakan wakil DAP itu yang disifatkannya tidak profesional selain cuba menjadi "jaguh" mencari publisiti murahan.

"Tindakan DAP ini (menimbulkan kekecohan) membuang masa persidangan dewan, kita dipilih oleh rakyat bukan untuk bergaduh atau nak tunjuk siapa ada kuasa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain