suria

Trio Datuk T: Hukuman Satu Pengorbanan

KUALA LUMPUR: Trio Datuk T yang dihukum atas kesalahan berkaitan penyebaran video seks yang dikatakan mirip dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hukuman terhadap mereka sebagai pengorbanan bagi mendedahkan moral pemimpin yang korup dan hipokrit.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini pada Jumaat berkata, pengorbanan yang dilakukannya dan dua lagi anggota trio tersebut, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta Datuk Shuib Lazim adalah untuk rakyat Malaysia.

"Walaupun kami kurang gembira dengan hukuman yang diberi, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, kami bertiga bersedia berkorban untuk memberitahu rakyat hipokrasi pemimpin yang telah lama wujud dalam negara kita mesti dihapuskan," katanya.

Abdul Rahim seterusnya berkata, matlamat untuk mendedahkan pelaku video seks itu juga telah tercapai dan pihaknya tidak akan menerima penafian daripada mana-mana pihak tentang penglibatan Anwar dalam video itu.

"Semoga selepas ini tidak ada lagi perkataan mirip-mirip,"tambahnya dan disambut dengan sorakan 'Hidup Datuk T' oleh kira-kira 100 penyokong.

Selain itu, Abdul Rahim juga menegaskan bahawa tindakan menayangkan video itu kepada wakil media terpilih di bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu adalah bertujuan untuk mempertahankan keselamatan negara.

"Kami korbankan diri kami bertiga untuk memastikan kita mencapai matlamat ini supaya rakyat dapat menimbangkan dan menghakimi perkara yang sebenar.

"Kami harap rakyat Malaysia akan membuat pilihan terbaik khususnya pada pilihan raya yang akan datang," tambahnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke mahkamah.

Pada Jumaat, Abdul Rahim, Shazryl Eskay dan Shuib diarahkan untuk membayar denda atau berhadapan dengan hukuman penjara selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan berkaitan penayangan video berkenaan.

Shazryl Eskay dikenakan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda manakala Shuib dihukum denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal, sementara Abdul Rahim diarahkan membayar denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani yang turut memerintahkan agar denda dibayar selewat-lewatnya pada pukul 4 petang ini.

Shazryl Eskay dan Shuib didakwa secara bersama atas tuduhan menayangkan bahan lucah iaitu video adengan seks seorang lelaki dan seorang wanita secara terbuka.

Abdul Rahim, yang juga menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka selama 12 tahun sejak tahun 1982 pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Shazryl Eskay dan Shuib untuk melakukan kesalahan tersebut.

Semua mereka mengaku melakukan kesalahan itu di Hotel Carcosa Seri Negara, Taman Tasik Perdana, Persiaran Mahameru, di sini pada antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu.

Pendakwaan terhadap Shazryl Eskay dan Shuib dibuat mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan Akta 574 manakala pertuduhan terhadap Abdul Rahim dibuat mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi persubahatan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Kamaludin Md Said dan Mohamad Hanafiah Zakaria manakala barisan pembelaan dibarisi oleh peguam-peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, Zamani Ibrahim dan Suhaimi Salleh.

Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh menafikan bahawa beliau adalah pelaku di dalam video tersebut.

Artikel Lain