suria

MANA HILANGNYA BUDI BAHASA KITA?

SEPANJANG dua tahun menjadi perantau di negara Kangaroo ini, sepanjang itu juga saya berpeluang untuk berkenalan dan bertemu dengan pelbagai karakter manusia. Ada yang peramah, ada yang bersopan santun, tidak kurang pula yang tegas, kasar malah terlampau pelbagai untuk disenaraikan di sini.

Dari pengalaman dua tahun itu, yang paling ketara yang saya lihat perubahannya ialah semakin hari semakin ramai “orang kita” yang mula hilang budi bahasanya apatah lagi nilai dan adat-adat ketimuran.

Setiap kali apabila adanya hari cuti, peluang sebegini tidak pernah saya lepaskan untuk membawa seisi keluarga berjalan-jalan menerokai setiap pelusuk benua ini. Cuma bezanya kali ini, saya sekadar membawa mereka bersiar-siar di sekitar kota metropolitan Melbourne. Tetapi dalam usaha untuk menjadikan pengembaraan kami lebih mencabar, maka kami menggunakan kereta api serta tram yang menjadi simbol kebanggaan rakyat Victoria.

Namun musim cuti umum selalunya kereta api akan penuh dengan penumpang dan pelancong, mungkin disebabkan kami berenam bersama dengan anak-anak kecil, kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk duduk, disebabkan ramai yang mengalah memberikan tempat duduk mereka kepada kami.

Sehinggakan saya terpaksa menolak dengan lembut pelawaan mereka dengan alasan saya lebih selesa untuk berdiri.

Setiap tempat yang kami lawati, anak-anak saya tidak lepas dari berposing untuk kenang-kenangan. Menariknya ramai di antara penduduk tempatan, dengan mudah menawarkan diri untuk membantu mengambil gambar kami sekeluarga, walaupun tanpa diminta.

Ironinya, pada hari tersebut bukan sahaja terdapat beberapa “orang Melayu” yang kami temui, malah boleh dikatakan lebih dari dua genggam tangan. Setiap senyuman yang dilemparkan tidak pernah dibalas, apatah lagi kalau memberi salam. Seolah-olah begitu mahal nilai secebis senyuman dan jawapan pendek sebuah salam.

Terasa harga diri kami seperti peminta sedekah pula yang mengamit kemesraan sesama bangsa di rantau orang.

Isu perilaku “sombong” sebegini bukan hanya berlaku dikalangan pelancong malah sudah lama berjangkit di kalangan para pelajar di sini. Sepertimana pembaca semua sedia maklum, tugas saya sebagai tenaga akademik di dua buah universiti di sini tidak lekang dari berselisih bahu dengan pelajar-pelajar kita.

Lebih-lebih lagi mereka yang senegara, sebangsa dan seagama dengan saya. Malangnya boleh dikira dengan jari, berapa kali saya disapa mereka, sepanjang berada di sini. Perkatan "Salam", "Hai" atau "Helo", terasa begitu mahal harganya.

Mungkin mereka merasakan saya yang dulu perlu memulakannya. Mungkin disebabkan kehebatan mereka diberi biasiswa oleh kerajaan dan berbekalkan sedikit kecerdikan, yang menyebabkan saya perlu lebih menghormati diri mereka.

Hakikatnya, apa guna kita bergelar pelajar yang hebat, belajar di universiti ternama antarabangsa, akan tetapi karakter kita tidak menunjukkan tahap akademik kita yang sebenarnya. Sesekali hati terasa sedih dan berkata, "Inikah pelajar kita hari ni, inikah harapan anak bangsa?"

Sepatutnya semakin canggih perkembangan akademik seseorang itu, semakin tertib adab dan perilakunya. Seperti resam padi semakin berisi semakin menunduk.

Mungkin mereka ini terlupa, kemajuan tidak sempurna sekiranya ia tidak dilengkapi dengan sikap dan tingkah laku yang luhur serta penuh dengan ketatasusilaan. Hakikatnya, bagaimana mungkin kita boleh berbangga dengan kemajuan kita jika elemen hormat menhormati tidak menjadi sebahagian daripada amalan kita?

Pantun Melayu yang sudah berumur ratusan tahun lalu itu mengingatkan kita akan peranan budi pekerti sesuatu bangsa. Bangkit dan runtuhnya suatu bangsa tercermin dari budi bangsa tersebut.

Tegak rumah kerana sendi, Runtuh sendi rumah binasa, Sendi bangsa ialah budi, Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Satu elemen yang perlu kerajaan nilai semula ialah bagaimana nilai dan adat resam kita tetap dapat disemai kepada para pelajar terutamanya yang menyambung pengajian di luar negara. Bijak sahaja tidak mencukupi jika tidak dibekalkan dengan keluhuran budi bahasa.

Hakikatnya, bolehkah seseorang itu menjadi warganegara yang baik, jika elemen rukun negara tidak dapat dipupuk? Apa pula yang akan terjadi jika nilai keintelektual tidak dapat diseimbangi dengan nilai kemanusiaan?

Kerana itu juga, masyarakat harus kembali menghayati makna budi bahasa, budi pekerti, budi bicara dan tentunya akal budi yang tinggi untuk memastikan kita berupaya menjadi masyarakat contoh serta yang bertamadun tinggi.

Diribut tunduklah padi, Dicupak Datuk Temenggung, Hidup kalau tidak berbudi, Duduk tegak ke mari canggung.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monah University. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain