suria

Khabarnya Sang Algojo diperlukan di Assam...

DALAM sejarah pengembaraan penulis, penulis pernah empat kali masuk ke India. Kali pertama menjejakkan kaki di benua kecil India ialah di Calcutta pada tahun 1987. Di Culcutta, penulis tersangkut di dalam kesesakan trafik berjam-jam lamanya hanya kerana berduyun-duyun manusia melintas jalan tanpa henti sehingga kenderaan tidak bisa bergerak. Stesen kereta apinya lebih ramai manusia daripada gerabak kereta api itu sendiri. Malah stesen tersebut tidak pernah tutup dan sunyi kerana manusia tidur di mana-mana sahaja ruang yang ada kerana kemiskinan.

Maka apabila penulis membaca tulisan wartawan Jim Yardley dan Hari Kumar dari International Herald Tribune (edisi akhbar global The New York Times) Rabu lalu (15 Jun), kenangan penulis kembali mengimbau ke India. Tulisan kedua-dua wartawan tersebut sangat menarik dan lain dari yang lain. Mereka melaporkan bagaimana di India sekarang kerjaya sebagai algojo atau tukang gantung (manusia) sedang diancam kepupusan. Maknanya, tidak ada orang hendak menyandang jawatan itu lagi.

Mereka memulakan laporan dengan menulis; “India mempunyai penduduk seramai 1.2 bilion manusia. Di negara itu, anda boleh bertemu dengan pelbagai jenis pekerjaan dan profesion - dari jutawan, pengawai bank, pemungut guni, penarik beca, peniup ular, gerila sepenuh masa, pelakon Bollywood, pengubat tradisional dan macam-macam lagi melainkan untuk satu profesion - India sedang mencari Sang Algojo atau tukang gantung.

Sebenarnya, punca kepupusan kerjaya algojo adalah disebabkan oleh negara itu sendiri. Walaupun wujudnya hukuman gantung sampai mati - iaitu hukuman yang diwarisi daripada tuan kolonial - British, India pada hakikatnya jarang sekali mempraktikannya. Kali terakhir hukuman gantung sampai mati dijalankan di India ialah pada tahun 2004. Sejak mencapai kemerdekaan dari Britain pada tahun 1947, India hanya melaksanakan 50 hukuman gantung ke atas pesalah.

Bagaimanapun pada Mei lalu, Presiden India, tanpa diduga enggan menandatangani satu petisyen rayuan yang dikemukakan oleh seorang pesalah yang dijatuhkan hukuman mati oleh Negeri Assam di Timur India. Maka pegawai penjara mahu tidak mahu terpaksa menghantar pesanan S.O.S ke seluruh benua kecil itu untuk mencari Sang Algojo bagi melaksanakan hukuman gantung tersebut. Malangnya, tidak seorang pun yang menjawab permintaan tersebut. India telah disedarkan oleh peristiwa ini bahawa mereka telah kepupusan tukang gantung - kerana sakit tua, mati atau pun meninggalkan pekerjaan itu.

Situasi ini terjadi, menurut hasil siasatan dua wartawan IHT adalah disebabkan oleh sistem pelaksanaan hukuman di India itu sendiri. Walaupun mereka mewarisi sistem keadilan dan hukuman dari Britain tetapi dari segi praktiknya, mereka hanya melaksanakan hukuman mati pada kes-kes tertentu yang sangat-sangat berat dan serius sahaja. Malah menurut laporan itu lagi, hari ini, pegawai-pegawai penjara sering mengalakkan pesalah yang dikenakan hukuman mati supaya sentiasa menulis petisyen rayuan kepada ahli politik dan juga ketua negara meminta agar hukuman mereka diringankan atau dipinda sebagai hukuman seumur hidup.

Malah dalam kebanyakkan kes, para pegawai penjara sendiri membantu para pesalah ini mendrafkan surat petisyen mereka. Menurut statistik terkini, seramai 345 pesalah sedang menanti hukuman gantung sampai mati di dalam penjara di seluruh negara itu.

Tetapi kini seorang algojo sangat-sangat diperlukan di Assam. Maka iklan pun diletakkan di dalam majalah dan akhbar di seluruh benua India; “Algojo diperlukan di Assam”. Namun tiada siapa yang menyahut seruan itu. Untuk rekod, kali terakhir Assam melaksanakan hukuman gantung ialah pada tahun 1990. Dan bayangkan, selama 21 tahun Sang Algojo tidak ada kerja melainkan melangut dan menanti siang dan malam sehingga dia sendiri meninggal dunia.

Maka para pegawai penjara Assam pun terpaksa menoleh ke negeri jiran mereka Bengal Barat dan sejauh Uttar Pradesh yang bersempadan dengan Barat Nepal bagi mencari Sang Algojo yang baru. Bengal Barat pernah mempunyai seorang tukang gantung bernama Nata Mullick. Kali terakhir Nata menjalankan tugasnya sebagai algojo dia berusia 87 tahun. Dia tidak pernah dipencenkan kerana Bengal Barat khuatir jika mereka memencenkan Nata, mereka tidak akan dapat mencari pengantinya. Malang sungguh, Nata telah didapati meninggal dunia dua tahun yang lalu - meninggal di dalam pekerjaan.

Jadi para pegawai penjara Assam terpaksa membuat pencarian baru di Uttar Pradesh. Mereka baru teringat, di sebuah bandar bernama Meerut di Uttar Pradesh, terdapat satu keluarga yang dari generasi ke generasi berkhidmat sebagai algojo tanpa putus. Jawatan tersebut diwariskan daripada bapa kepada anak atau bapa saudara kepada anak saudara. Ia jarang-jarang berlaku di mana-mana negara pun dalam dunia ini kecuali di Meerut, India. Di sini, Kalu Kumar, adalah anak saudara kepada seorang Algojo mencatat status selebriti di benua India pada tahun 1989 apabila dia terpilih untuk melaksanakan hukuman gantung sampai mati ke atas dua pembunuh Perdana Menteri, Indira Gandhi.

Kalu telah meninggal dunia tetapi dia mewariskan legasi itu kepada anaknya Mammu Singh yang sehingga kini telah melaksanakan 11 hukuman gantung di penjara Uttar Pradesh. Dan apabila para pegawai penjara Assam menghubungi rakan sejawat mereka di Uttar Pradesh mereka telah menyampaikan satu berita buruk. Mammu Singh baru sahaja meninggal dunia 19 Mei lalu. Lalu mereka meminta rakan mereka di Assam supaya menghubungi satu lagi penjara di Uttar Pradesh yang terletak di bandar Lucknow. Ya, Lucknow ada seorang algojo yang masih bertugas tetapi tangannya patah dan tidak dapat dipinjamkan ke Assam untuk melaksanakan hukuman gantung di sana.

Dalam suasana tertekan ini tiba-tiba anak sulung Mammu Singh, Pawan Kumar memutuskan yang dia mahu menyambung kerjaya keluarganya itu dan melangsungkan legasi yang ditinggalkan oleh keluarganya. Dia pun memohon kelulusan kerajaan untuk menjadi Sang Algojo sepertimana bapanya dan juga datuk saudaranya. Kini dia sedang menanti hasil temuduga yang telahpun dijalankan oleh pihak berkuasa penjara. Seandainya berjaya, dia akan terus dihantar ke Assam untuk melaksanakan tugasnya yang pertama sebagai Algojo. Assam sangat memerlukannya sekarang. Dan sebagai algojo, dia akan dibayar gaji sebanyak AS$75 sebulan - sangat rendah dalam konteks mana-mana negara pun tetapi lumayan dalam konteks India.

Dan Satu Lagi S.O.S Dari India...

Dari Calcutta, penulis pernah mengembara menaiki kereta api ke Utara India ke sebuah bandar bernama Benares. Perjalanan ke sana sangat jauh dan dahsyat dalam ertikata kereta api yang kami naiki itu padat macam sardin di dalam tin. Kami membeli tiket Kelas 2 kerana menyangka ia macam di tanah air Malaysia. Malangnya Kelas 2 adalah ibarat koc Kelas 3 yang pernah kita miliki suatu ketika dahulu. Penulis telah diangkat oleh para penumpang yang lain untuk duduk di tempat meletak beg di atas kepala penumpang. Penulis akur membiarkan perlakuan mereka tanpa bantahan kerana penulis tidak tahan dengan bau badan manusia di dalam koc tersebut.

Benares adalah bandar suci penganut agama Hindu dan juga Buddha. Di situlah Gautama Buddha dilahirkan dan menjadi seorang alim dan di situ jugalah mengalirnya Sungai Ganges - yang mana para penganut agama Hindu bermandikan airnya untuk menyucikan diri daripada dosa dan juga abu dari mayat yang dibakar ditaburkan di dalamnya. Kini Sungai Ganges telah tercemar teruk dan disifatkan sebagai sungai paling tercemar di dunia.

Maka satu lagi panggilan S.O.S pun dilancarkan dari benua India ke serata dunia dalam misi untuk menyelamatkan Sungai Ganges. Tidak seperti Penjara Assam, panggilan kecemasan ini menerima respon yang agak pantas. Selasa (14 Jun) lalu, Kerajaan India dan Bank Dunia telah menandatangani perjanjian pinjaman sebanyak AS$1 bilion untuk membersihkan sungai keramat itu. Satu pertiga daripada 1.2 bilion penduduk India mendiami di sepanjang Sungai Ganges. Insiden yang mencetus kepada usaha segera untuk membersihkan sungai ini muncul apabila seorang sami meninggal dunia selepas melancarkan mogok untuk meminta campur tangan kerajaan bagi menangani pencemarannya.

Sungai Ganges berpunca dari pergunungan Himalaya dan berakhir di Teluk Benggal. Ia memulakan perjalanannya sejauh 2,500 kilometer sebagai air dari cairan salji tetapi berakhir sebagai air yang paling tercemar di muka bumi. Ketika penulis menaiki sampan melayari Sungai Ganges pada tahun 1987, airnya masih berwarna kehijau-hijauan. Hari ini, airnya cerah sedikit daripada air kopi yang kita minum tiap-tiap pagi dan petang. Semoga wang AS$1 bilion itu dapat memulihkan Ganges yang tenat.

Artikel Lain